KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Friday, April 30, 2010

Muhammad Al-Fatih: Sebaik-baik pemuda dan pemimpin

Pemuda-pemuda kini umpama kijang-kijang yang terhincut-hincut jika dibandingkan dengan dahulunya adalah anak-anak singa. Lihat sahaja pada pemuda berumur 17 tahun yang sudah ke medan perang, Zaid bin Harithah iaitu anak angkat kesayangan Rasulullah s.a.w 14 ratus tahun lalu.

Dalam mengimbas kembali jihad mukminin yang tiada henti, tidak lengkaplah tanpa menyebut tentang pembebasan Constantinople oleh Khalifah Uthmaniyah yang ketujuh pada tahun 857H.

Sabda Rasulullah s.a.w ketika menggali Parit Khandaq; “Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” [Hadis riwayat Imam Ahmad]

As-Syahid Abu Ayyub Al-Ansari, sahabat besar Rasulullah SAW telah dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople, dan apabila ditanya mengapa beliau mewasiatkan sebegitu, beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople nanti.” Sungguh, rijal itu benar-benar bakal mengotakan impian menawan Kota Constantinople dengan mengimamkan hampir 150,000 orang tenteranya.

Apakah kelebihan dan rahsia Baginda Sultan Muhammad atau lebih masyhur dengan gelaran Muhammad The Conqueror?

Baginda telah menerima asuhan dari kecil sehingga baginda yakin bahawa bagindalah raja yang disebut dalam hadis Rasulullah. Dengan sentuhan tarbiah menyeluruh oleh ayahanda baginda Sultan Murad II dan guru-gurunya termasuk Syeikh Amad Shamsuddin yang mengajar ilmu agama dan berkaitan dunia pemerintahan. Baginda juga menguasai dan fasih berbahasa Turki, Arab, Latin, Greek, Serbia (bahasa ibu Baginda), Parsi dan Hebrew.

Baginda dilatih supaya mahir memanah, menunggang kuda dan menyusun taktik perang. Kepintaran baginda dalam mengatur strategi dan mencipta peralatan termoden diperakui oleh sejarawan barat setelah melihat kehebatan Sultan Muhammad di medan perang.

Peperangan terhadap Kota Constantinople berlaku disebabkan Raja Rom yang memerintah pada waktu itu enggan menyerahkan kota tersebut. Maka tentera Uthmaniyah dengan diketuai oleh baginda Sultan Muhammad mula menyerang kubu dari segenap penjuru. Baginda sebelum itu menyampaikan khutbah melarang gereja, tempat-tempat ibadah lain diroboh dan tidak mengapa-apakan paderi, orang kurang upaya dan yang sudah tua serta mereka yang tidak membunuh.

Apabila sebuah rantai besar dibina menghalang kapal-kapal merentasi Selat Bosphorus, baginda mendapat akal untuk melancarkan kapal perang melalui jalan darat dan gunung sejauh hampir enam batu. Alangkah terkejut Raja Byzantine keesokan harinya, bukan sahaja Teluk El Qarn El Zahabi (The Golden Horn) dipenuhi kapal-kapal muslimin bahkan armada bantuan dari Ketua Paderi Rom kesemuanya musnah terbakar. Rentetan daripada itu kubu pertahanan menipis sehingga akhirnya dengan izin Allah pihak tentera Uthmaniyah berjaya menawan Kota Constantinople pada 28 Mei 1453 bersamaan 857H.

Baginda dengan tawaduk penuh kesyukuran atas kejayaan membebaskan Kota Constantinople. Setelah itu Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) dan memerintahkan agar separuh Gereja besar St. Sophies diubahsuai menjadi masjid yang terkenal Aya Sofiya. Gelaran ‘Al-Fatih’ amat sesuai kerana Baginda telah menang membuka Constantinople. Sebuah pembukaan agung yang ditunggu sejak 800 ratus tahun sebelumnya.

Sejak baligh Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud. Inilah hasil didikan Syeikh Amad Shamsuddin. Inilah dia sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya itu.

Masha Allah. Satu contoh rijal hebat pernah tercatat dalam sejarah dunia. Hanya pada usia 21 tahun mampu merealisasikan cita-cita tingginya, juga cita-cita seluruh umat sejak berzaman sebelum itu. Cerita Sultan Muhammad Al Fatih mengajar muslimin beberapa tips kejayaan antaranya ‘al-akhzu bil asbab‘(mengambil sebab) dengan usaha gigih dan strategi bijak serta persiapan dan peralatan tercanggih. Membina meriam besar yang mampu membedil kubu sejauh satu batu dan menara bergerak tiga tingkat, diperbuat daripada kayu, tingginya melebihi dinding kubu dan memuatkan ratusan tentera merupakan seni peperangan yang amat hebat.

Sebagai raja yang mengimamkan ribuan muslimin, baginda sentiasa tenang, sabar, peka dan prihatin terhadap tentera bawahannya. Baginda sentiasa merujuk kepada guru-gurunya baik dalam urusan agama atau permasalahan negara. Baginda juga sentiasa menghembus semangat kepada para tenteranya dengan kemenangan yang telah Allah janjikan.

Maka junjunglah tinggi Islam dalam hidup

“Ayuh kita sama-sama perbaharui tekad untuk melatih qiadah menanggung bebanan supaya yang terlantik nanti adalah mereka yang berwibawa dan berkelayakan; bermula daripada sof pertama, kemudian diikuti oleh sof kedua dan seterusnya. Sebagai persediaan ia adalah tiga barisan pelapis untuk qiadah. Sesungguhnya mempersiapkan kanak-kanak mumayyiz dengan hukum syarak khusus membolehkan dia dijadikan imam dalam solat, sekalipun dia belum mukallaf, menjadi bukti yang menunjukkan bahawa mempersiapkan kepimpinan dengan ibadat merupakan objektif yang mesti diberikan tumpuan di dalam perlaksanaan. Berkata Imam Al-Banna rahimahullah: “Jadilah kalian hamba yang tekun beribadat sebelum dilantik sebagai ketua, nescaya ibadat kamu itu akan menjadikan kamu pemimpin yang terbaik” [Dipetik dari Perutusan Dr. Mohd Badee Mursyidul Am ke-8]

Ya Allah, Kepada Engkau sahaja kami berharap supaya dikurnia kekuatan, keberanian, kelebihan, kesungguhan dan keyakinan utuh sebagaimana dilimpahkan terhadap hambaMu Muhammad Al Fatih seterusnya mengembalikan kegemilangan ummah ini semula. Amin.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir Cawangan Mansurah

Sunday, April 25, 2010

Buku yang MESTI dibaca oleh REMAJA yang ingin BERJAYA

Judul : SITI FATIMAH 18A : Watak Remaja Zaman Ini
Penulis : Dinsman
Penerbit : Media Minda Resources Sdn Bhd, Kuala Lumpur 2007


Siti Fatimah Mukhtar. Remaja yang mendapat 17A1 + 1A2 dalam SPM 2006. Dalam ujian pertengahan tahun tingkatan 4, dia mendapat 24A, termasuk subjek Agama dan Bahasa Arab. Anda pun boleh capai kejayaan yang sama. Siti Fatimah mendedahkan semua rahsia kejayaannya melalui buku dan VCD ini. Lebih dari itu – dia watak remaja zaman ini. Aktif kokurikulum, aktif sukan dan menunjukkan bakat kepimpinan yang menyerlah. Sempat pula menghafal al-Quran (sudah 15 juzuk). Dan kehidupan sosialnya cukup menarik. Punya cara sendiri berhibur dan mengatasi stress.

Biodata Siti Fatimah
Nama : Siti Fatimah Mukhtar
Sekolah : SMU Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu
Jawatan : Ketua Pengawas Sekolah
Pencapaian :

  • SPM 2006 - 18 A (17A1 & 1A2)
  • Ujian Pertengahan Tahun Tingkatan 4 – 24 A ( 22A1 & 2A2)

Anugerah :

  • Pelajar Terbaik SPM 2006 Malaysia
  • Biasiswa Khas Skim Pelajar Cemerlang SPM Bank Negara Malaysia
  • Pelajar Mithali Yayasan Islam Kelantan 2006
  • Pelajar Melayu Terbilang GPMS 2007

“ Dan satu je saya berpegang – doa kepada Allah. Kalau kita ikhlas, Allah akan tolong kita walau di mana pun kita berada, insyaAllah.”

“ Niat kita pertamanya memanglah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Dan kita perlu cinta ilmu pengetahuan. Sebab kalau kita cinta, contohnya apa-apa yang kita minat, dan kita buat itu bukan kerana paksaan, kita akan rasa ia adalah satu perkara yang menyeronokkan”

“Saya rasa dengan menghafal al-Quran itu lebih menguatkan ingatan saya”

Saya sudah baca, anda bila lagi...


Mursyidi Mohammad

Pengarah KRIM Melaka

www.truecaliph.wordpress.com

Saturday, April 17, 2010

Setiap Persoalan Kita

Setiap persoalan PASTI ada jawapan.Al-Qur'an sudah tentunya sumber paling tepat yang kita mesti rujuki untuk setiap persoalan sepanjang kehidupan kita. Al-Qur'an itu petunjuk sepanjang zaman. Bagi yang mencari pasti akan menemuinya...

Soalan : Adakah Aku Sudah Dikira Beriman?

Jawapan : “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman, “ sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yang dusta."
(Surah al-Ankabut : 2-3


Soalan : Kenapa Aku Tak Dapat Apa Yg Aku Idamkan???

Jawapan : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui"
(Surah al-Baqarah:216)

Soalan : Kenapa Susah Sangat Ujian Ini???

Jawapan : "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Surah al-Baqarah : 286)


Soalan : Aku Rasa Frust?Tension?Lemah Semangat?

Jawapan : "Janganlah kamu bersikap lemah, dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang beriman." (Surah ali-Imran : 139)


Soalan : Bagaimana Harus Aku Menghadapinya?Huh

Jawapan : "Wahai orang2 beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertqwalah kamu kepada Allah supaya kamu lebih berjaya (mencapai kemenangan). "
(Surah al-Imran : 200)

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembanhyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusuk"
(Surah al-Baqarah : 45)


Soalan : Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ini???

Jawapan : "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang2 mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka...
(Surah At-Taubah : 111)


Soalan : Kepada Siapa Aku Berharap???

"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah : 129)


Soalan Terakhir : Arghhh..Aku Tak Tahan!!!! Aku Dah Bosan!!!

"....dan janganlah kamu berputus asd dari Rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari Rahmat Allah melainkankaum yang kafir."
(Surah Yusuf : 12)

Renung-renungkanlah wahai kalian yang telah temui segala jawapan.......

Wednesday, April 14, 2010

Suatu Kejayaan Itu Bermula dengan Impian

Adik-adik yang dikasihi,

Kita dilahirkan oleh Allah penuh dengan kehebatan dan kecemerlangan.

"Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian"
[At-Tin, 95:4]

Inilah kita.

Kita adalah apa yg dikatakan oleh hati kecil kita.

Jangan dibentuk sempadan diri sendiri dengan memikirkan bahawa kita tidak boleh cemerlang.

Sesungguhnya kecemerlangan itu adalah hak kita yang telah disediakan oleh Allah.

"Sesungguhnya Allah mengasihi seorang hamba yang apabila melakukan sesuatu kerja, dia melakukan dengan cemerlang
[maksud hadis]

Jadi, apakah IMPIAN anda?
The greatest danger for most of us is not that our aim is too high and we miss it, but that is too low and we reach it
-michelangelo-
salam perjuangan !!!

-KRIM MELAKA-

Sunday, April 4, 2010

Masih Belum Terlambat Untuk Memohon Biasiswa


Anda rasa semua permohonan biasiswa sudah ditutup?

Anda mungkin silap !!!!

Layari
http://biasiswalink.com/ untuk informasi lanjut

Kursus Kepimpinan Syarod Cungkil Ketokohan

ALAI, 26-27 Mac 2010 – Kelab Remaja ISMA (KRIM) telah berjaya menjalankan Kursus Kepimpinan kepada barisan kepimpinan pelajar tingkatan satu, dua dan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Sharifah Rodziah yang kebanyakannya adalah pengawas sekolah dan selebihnya adalah Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) serta pustakawan sekolah baru-baru ini. Para peserta yang hadir adalah sekitar 64 orang.

Kursus tersebut dimulakan pada pukul 3.15 petang dengan Ucapan Aluan, sessi Ice Breaking dan slot pengisian pertama bertajuk ‘Remaja: Dari Mana Nak Ke Mana?’. Slot ini adalah bertujuan untuk menerapkan kesedaran terhadap para pelajar tentang matlamat hidup yang sebenar sebagai pelajar Muslim. Pada sebelah malamnya, para peserta disajikan dengan slot: What’s in the Bee? Yang disampaikan oeh Saudari Salmi binti Dikun. Slot ini merupakan slot yang menggabungkan tayangan visual tentang lebah, pembentangan setiap kumpulan dan huraian tentang hubungkait antara lebah dan ciri-ciri kepimpinan. Para peserta kelihatan seronok dan teruja dengan slot ini justeru penemuan-penemuan baru yang mereka temui melalui makhluk ciptaan Allah yang unik ini iaitu Lebah!

Usai Qiamullail dan Solat Subuh berjemaah, para peserta mengikuti pula slot Tadabbur Alam di mana setiap fasilitator membawa setiap kumpulan keluar menikmati udara segar serta memberikan perkongsian ringkas berkaitan kehebatan alam ciptaan Allah. Slot yang ringkas ini sedikit-sebanyak bertujuan untuk mengasah tauhid dan menyuburkan lagi perasaan cinta para peserta terhadap Allah.

Para peserta kemudian menikmati sarapan pagi dan hemat diri.

Sekitar jam 7.45pagi, para peserta mengikuti slot ‘Teambuilding’ dan pada 8.45 pagi, para peserta berkumpul semula di dewan bagi mengikuti slot Discover Personality Trait oleh Encik Muhammad Aizat bin Rasli. Melalui slot ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai bentuk personaliti seorang pemimpin yang seterusnya membantu mereka menggalas tugas memimpin kelak. Slot ‘True Leaders’ menyusul setelah minum pagi dan penceramah slot ini iaitu Puan Hidayah telah menekankan gejala sosial remaja tidak sihat yang pemimpin pelajar harus peka dan hindarkan diri serta contoh-contoh tokoh Islam tersohor satu ketika dahulu.

Dengan berakhirnya slot True Leaders, Kursus Kepimpinan ini semakin menghampiri ke kemuncaknya. Ucapan penutup disampaikan oleh Guru Penolong Kanan HEM 1, Pn Hatina binti Yakub. Beliau menasihati para peserta agar memanfaatkan apa yang didapati daripada kursus ini. Manakala, ucapan perasmi disampaikan oleh Yang Dipertua ISMA Melaka, Ustaz Ahmad bin Zainal Abidin. Ustaz Ahmad mengingatkan para peserta agar berusaha kerana usaha merupakan sebahagian daripada sunnatullah (undang-undang Allah) yang mengharuskan seseorang untuk menjalankannya bagi mencapai sesuatu kejayaan.

Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kursus ini terutamanya pihak sekolah Sharifah Rodziah serta guru kaunselor atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan. Selamat Maju Jaya kepada peserta Kursus Kepimpinan kali ini dan semoga ANDA SEMUA dapat membawa arus positif di sekolah tanpa putus asa dan dengan semangat juang yang tinggi! Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. [Ar-Ra’d:11]

Dilaporkan oleh

Siti Amalia Samaruddin
Timbalan Pengarah KRIM

KRIM Bangkit Jatidiri Pelajar Vokasional


Muar, 27 Mac 2010 – Kelab Remaja ISMA Melaka telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program Kursus Kepimpinan di Sekolah Menegah Vokasional Muar bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang. Kursus ini berjaya mengumpulkan seramai 60 orang pemimpin pelajar yang terdiri daripada pengawas sekolah, pengawas asrama, pengerusi unit beruniform dan kelab.

Usai sesi suai kenal bersama peserta dan barisan fasilitator, saudara Mursyidi B Mohammad, Pengarah KRIM Melaka memulakan slot yang pertama bertajuk “Peranan dan Tanggungjawab Pemimpin”. Peserta diminta berbincang dalam kumpulan dan membentangkan peranan seorang pemimpin sebelum penceramah berkongsi pengalaman dan tips-tips berguna sebagai pemimpin sekolah.

Slot “Peribadi Pemimpin” pula dimulakan dengan tayangan video tentang lebah dan disusuli dengan pembentangan ciri-ciri lebah yang boleh diaplikasikan sebagai seorang pemimpin. Peserta kelihatan teruja dengan fakta-fakta menarik mengenai lebah, makhluk ciptaan Allah yg unik. Juga diselitkan aktiviti ”Scanner Buruk” untuk memberi penekanan kepada kepentingan komunikasi yang berkesan dalam satu organisasi. Para peserta kelihatan seronok dan terhibur apabila melihat hasil lukisan setiap kumpulan yang rata-ratanya agak berbeza dengan lukisan asal.



Selepas makan tengah hari dan solat zuhur berjemaah, para peserta mengikuti pula aktiviti “Fast & Furious”. Kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kreatif peserta diuji dalam memastikan setiap ahil kumpulan menyentuh bola tennis dan durian dalam masa yang paling pantas. Kemudiannya,peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan dan dilepaskan untuk ke 4 “check point” bagi menyelesaikan tugasan dalam aktiviti “Explorace”. Peserta perlu menggunakan kemahiran menulis karangan dan mengira matematik untuk melepasi check point “Assalamualaikum teacher”. Pelbagai ragam dan gaya ditunjukkan oleh peserta untuk menyelesaikan tugasan terutamanya di check point “Sungai Asid”. Kesemua kumpulan juga terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan tugasan “puzzle” yang amat mencabar di check point yang terakhir. Saudara Nazeri b Kamarudin yang menguruskan aktiviti Explorace kemudiannya membuat rumusan dan berkongsi tips-tips untuk menjadi pemimpin yg berkesan.

KRIM Melaka ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak SMV Muar kerana sudi mengundang kami untuk bersama-sama menjayakan program ini. Jutaan terima kasih juga buat semua yang terlibat dalam program ini. Semoga program ini diberkati oleh Allah s.w.t. dan membantu melahirkan pemimpin yang unggul di masa hadapan. Pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok.

Dilaporkan oleh,

Mursyidi Mohammad
Pengarah KRIM Melaka
www.krimmelaka.blogspot.com

Album Aktivisme KRIM Melaka 2009

Remaja adalah aset penting negara kerana merekalah yang akan mencorakkan jatuh bangunnya tamadun bangsa ini di masa hadapan. Mereka adalah ibarat biji benih yang ditanam, perlu dibela, dibaja dan dilindungi dari sebarang kerosakan agar pepohon yang bakal hidup melahirkan buah-buahan yang masak ranum dan hasil yang lumayan.

KELAB REMAJA IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (KRIM) tampil di tengah-tengah masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan ini. KRIM menawarkan pakej pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek mental, jasadi, rohani, emosi dan kemahiran. Hasil yang ingin dilahirkan ialah perubahan sikap motivasi, iltizam dan jatidiri dalam diri remaja itu sendiri.

Ucapan Takziah buat keluarga Saudara Fadhil

Selasa, 30 Mac 2010: Keluarga KRIM Melaka hari ini bersedih di atas pemergian ibunda kepada saudara Muhammad Fadhil B Ibrahim, ahli KRIM Melaka yang telah pulang ke Rahmatullah lewat hari ini. Saya bersama isteri sempat menziarahi ibunda Fadhil di Hopital Besar Melaka sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. KRIM Melaka mendoakan agar saudara Fadhil sekeluarga akan tabah dan sabar menerima berita ini.

Buat para pembaca yang dihormati, KRIM Melaka memohon agar bersama kita menghadiahkan pahala al-Fatihah buat Allahyarhamah Maimon Bt Ak Abd Kadir. Moga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang yang soleh yang senantiasa mendapat rahmat dan barokah Allah SWT. Ameen.

Al-Fatihah…

Mursyidi Mohammad
Pengarah KRIM Melaka

Apa Selepas SPM ???

Assalamu’alaikum wbth…

Ke hadapan adik-adik yang dikasihi sekalian,

Keputusan SPM 2009 sudahpun diumumkan pada bulan lepas. Tahniah diucapkan kepada calon-calon yang berjaya dengan cemerlang. Berikut diberikan beberapa link yang mungkin bermanfaat bagi merancang masa depan pendidikan dan kerjaya adik-adik. Semoga bermanfaat. Cepat-cepat!


Japanese Government Scholarship for Undergraduate and Postgraduate Studies for MALAYSIANS open for application from 1-31 MARCH 2010.

http://www.my.emb-japan.go.jp/English/JIS/scholarship/scholarship.htm

MARA & JPA Scholarship Programs

http://esilav2.jpa.gov.my/esila_new/piln/doc/syarat/syaratPILN_JPA_MARA_2010.pdf

Yayasan Proton Scholarship

http://www.malaysia-scholarship.com/yproton.html

PTPTN Education Loan

http://www.ptptn.gov.my/web/guest/anjung

The Star Education Fund

http://thestar.com.my/edufund

Astro Scholarship Award

http://www.astro.com.my/astrolife/scholarship/default.asp

PETRONAS Education Scholarship Programs

http://esu-spmtrial.petronas.com.my/

2007 MNRB Scholarship Fund

http://www.mnrb.com.my/

OCBC Bank Scholarship

http://www.ocbc.com.my/global/aboutOCBC/Gco_local_undergraduate_scholarship.shtm#top

Bank Negara Scholarship

http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=103&pg=674&ac=800

Curtin Sarawak Scholarship

http://www.curtin. edu.my/

HELP University College

http://www.help.edu.my/admissions/financial_aid_and_scholarships/help_scholarship_award

Adelaide Achiever Scholarships International (AASI)

http://www.adelaide.edu.au/scholarships/

Kolej Disted-Stamford Degree Scholarships

http://www.disted.edu.my/fa.htm

Leeds University Scholarships

http://www.leeds.ac.uk/downloads/Leeds_Scholarships.pdf

Loughborough University Human Science Scholarships

http://www.lboro.ac.uk/admin/ar/funding/ug/international/university/index.htm

MAAC Scholarship

http://www.emaac.org/index.php?option=com_content&view=category&id=55&Itemid=68

NUS / Asean Undergraduate Scholarship

http://www.nus.edu.sg/oam/scholarships-financialaid/financialaid.html

University of Sheffield Scholarship

http://www.shef.ac.uk/malaysia/scholarships.html

UTAR Scholarships

http://www.utar.edu.my/subcontentPage1.jsp?contentid=1545&2ndcontentid=608&catid=2

Nanyang Technological University Scholarship

http://admissions.ntu.edu.sg/UndergraduateAdmissions/Pages/FreshmenSingaporeSPR.aspx#

Tasmanian International Scholarships

http://www.international.utas.edu.au/static/scholarships.php

Saturday, April 3, 2010

Blogspot Krim Melaka



Bismillahhirrahmannirrahim...

Assalammualaikum buat semua pengunjung <<::KRIM MELAKA::>> . Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat iman dan amalan. Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mempertemukan kita di alam maya ini dengan beralamatkan "rumah maya" KRIM MELAKA di www.krimmelaka.blogspot.com.

Tujuan blog ini disediakan adalah sebagai satu lagi usaha oleh para penggerak KRIM Melaka untuk memajukan lagi gerak kerja dalam bidang dakwah kepada anak-anak remaja muslim di Melaka secara khususnya. Segala perkongsian ilmu yang bermanfaat, maklumat umum, gambar-gambar aktiviti dan acara KRIM Melaka akan cuba kami kongsikan di sini.

Semoga dengan adanya tautan blogspot KRIM Melaka ini juga akan dapat memudahkan lagi tautan ukhuwwah antara kita semua warga KRIM seluruh Malaysia.

Blogspot ini akan dikendalikan oleh para penggerak KRIM Melaka dan diketuai oleh Akh Mursyidi Mohammad selaku Presiden KRIM Melaka.

Kepada semua pengunjung, anda juga dialu-alukan untuk meninggalkan ucapan atau sebarang pesanan kepada kami para penggerak KRIM Melaka di ruangan "Jalinan Ukhuwwah" yang telah kami sediakan.

Diharap dapatlah kita semua memanfaatkan kewujudan blogspot <<<:::KRIM MELAKA:::>>> ini untuk kebaikan bersama. Yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu datangnya dari kelemahan kami sendiri.