KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Monday, November 22, 2010

Seminar BELAJAR POWER - Istimewa Untuk Semua Pelajar Sekolah Menengah.



Julung kalinya diadakan di Melaka.

BELAJAR POWER bersama Dr Arif.

Ayuh adik2 kita

MEMBANGUN POTENSI DIRI

&

KECEMERLANGAN INSAN.


Jangan lupa! 5 Disember 2010, bertempat di UTEM.


***Seminar ini turut mempunyai satu slot khas bersama para ibu bapa pada pukul 300 - 500 petang.***

Sila hubungi kami untuk sebarang pertanyaan dan pendaftaran.

HIDHIR 013 644 9017
MURSYIDI 013 207 0696
AMALIA 013 266 8701
SALMI 013 409 6339




PELAJAR SM TEKNIK BUKIT PIATU IKUTI KURSUS MENGORAK LANGKAH KEPIMPINAN




SUNGAI UDANG, 13 -14 Nov. 2010- Seramai 57 orang pelajar daripada barisan kepimpinan SM Teknik Melaka (Bukit Piatu) tingkatan 4 telah menyertai kursus Kepimpinan anjuran pihak sekolah dengan kerjasama Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Melaka. Kursus yang berlangsung selama 2 hari 1 malam ini telah memberikan satu kelainan kepada para peserta kerana selain daripada mengikuti modul kepimpinan, peserta juga menjalani program berkonsepkan perkhemahan di Melaka Tropical Fruit Farm.

Beberapa aktiviti berbentuk pembangunan aspek kepimpinan dan kerjasama dalam berorganisasi diterapkan kepada para peserta. Antaranya ialah slot ‘Discover Personality Trait’, ‘Self lead before Lead Others, High Impact Presentation Skills, Sungai Asid, Bahtera Kasih dan War Games .Pengajaran daripada tokoh pemimpin umat manusia iaitu Rasulullah SAW turut dihuraikan dalam program ini melalui slot True Leaders oleh Ustaz Zaidi, Timbalan YDP ISMA Melaka.

Program akhirnya menemui kepada penghujungnya apabila perasmian penutup telah disempurnakan oleh Cikgu Abdul Razak selaku Guru Penolong Kanan 1 SMTM. Semoga kursus sebegini dapat menjadi titik tolak kepada para pelajar untuk menjadi pemimpin yang berakhlak mulia dan berkaliber pada masa hadapan.

Thursday, November 18, 2010

JOM KE JAMBORI REMAJA MUSLIM NASIONAL


Ada apa dalam JIRIM @ Jambori Remaja Muslim ni?

Berkhemah di tepi sungai
Islamic War games
Indoor activities
Water games
Kembara Quran
Jungle Trekking

dan macam-macam lagi…

dan yang penting…insyaAllah semua aktiviti bersandarkan syariat Islam….

hubungi AJK JIRIM

KRIM Melaka
“Saudara Zailani 019 618 9685″
@
“Saudari Atikah 013 603 9811 / 019 730 1522″
@
boleh layari laman web
http://www.jirim.net/

YURAN hanya RM 100 = 3 hari 2 malam…
(dapat buku KOLEKSI CERPEN ISLAMIK KRIM yang pertama…percuma!!)

Berbaloi-baloi…

Pengangkutan pergi dan pulang dari melaka ke Ulu Yam, Selangor akan diuruskan oleh KRIM Melaka (termasuk insuran)

*************************************************************
JAMBORI REMAJA MUSLIM NASIONAL
(JIRIM)
“Impact 2 Perfect”
24 – 26 Disember 2010
(Jumaat – Ahad)
Nur Lembah Bestari, Ulu Yam, Selangor
**************************************************************

AJK PROMOSI
JIRIM
http://www.krimmelaka.blogspot.com/

Wednesday, November 17, 2010

Salam Aidil Adha 1431H

Assalamualaikum wbt

KRIM Melaka mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha 1431H kepada seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja di Melaka.

Bagi mereka yang telah bercuti, semoga adik-adik dapat manfaatkan masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah. Kepada yang bakal menduduki peperiksaan SPM, teruskan berusaha sehingga ke titisan terakhir dan semoga mendapat keputusan yang terbaik.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.


Salam Ukhuwwah,

KRIM Melaka

Tuesday, November 16, 2010

Di sebalik tabir…..Aidil Adha

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

“10 Zulhijjah”- Masihkah kita ingat akan tarikh ini? Atau masihkah ada jiwa-jiwa lalai yang lupa atau buat-buat lupa tentang peristiwa besar yang berlaku pada hari tersebut? Andai ada yang lupa, kalimah agung Allah dari Surah as-Saffat, ayat 102-109 ini mungkin dapat mengingatkan kembali.

Antaranya Allah menyatakan,

Maksudnya:
“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: ‘Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar. Setelah keduanya telah berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim A.S. merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tumpuk tanah (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami, serta Kami menyerunya, “Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata, dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. “ Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim”.

Dari ayat-ayat tersebut, Allah menceritakan, bagaimana keimanan yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim a.s. dapat melaksanakan perintah Allah, sekalipun terpaksa mengorbankan jiwa anak kesayangannya Ismail a.s. Begitu juga kekuatan iman Nabi Ismail a.s. yang sedia menerima perintah sekalipun dirinya sebagai taruhan. Pengorbanan dan kesabaran seperti ini yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa kita agar kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran dalam kehidupan dunia ini, dalam kita melaksanakan segala perintah Allah s.w.t.

Sedar tak sedar, sebenarnya pengorbanan begitu besar ertinya dan begitu luas, bukan setakat membawa maksud menumbangkan seekor lembu atau unta dan kemudiannya mengagih-agihkannya. Ramai dari kita yang masih belum sedar akan peri pentingnya pengorbanan. Jikalau konsep pengorbanan yang sebenar-benarnya dijadikan tunjang dalam hidup kita, nescaya keadaan umat Islam pada hari ini mungkin jauh lebih baik.

Kita sama-sama maklum, antara dua kelemahan utama umat Islam hari ini ialah dari segi penguasaan ilmu dan ekonomi. Jika kita menguasai ilmu, kita akan dapat memajukan ekonomi kita dan sekiranya kita dapat menguasai ekonomi, ia dapat memperkasakan lagi penguasaan ilmu kita. Kedua-dua usaha ini amat dituntut oleh Islam. Malangnya, banyak negara Islam yang gagal memenuhi tuntutan ini.

Mengapa tidak kita aplikasikan konsep pengorbanan untuk menguasai kedua-dua perkara ini? Pengorbanan untuk menguasai ilmu bukan hanya merujuk kepada pengorbanan dari segi kewangan.Yang lebih penting ialah pengorbanan di pihak individu, lebih-lebih lagi pelajar Islam untuk menuntut ilmu dan pengajian berbanding perkara-perkara lain. Bagi ibu bapa, seeloknya kita mendahulukan keperluan pendidikan anak-anak, berbanding keperluan kebendaan yang bersifat kosmetik. Begitu juga, pengorbanan masyarakat hendaklah mengutamakan majlis ilmu berbanding kecintaan kepada hiburan yang melulu.

Penguasaan ekonomi juga perlu dilihat dengan cara yang serupa. Baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Semua umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi menyumbang kepada kekuatan ekonomi ummah. Bekerja, baik bekerja sendiri mahupun makan gaji, perlu diniatkan sebagai satu usaha bukan hanya untuk mencari makan atau meneguhkan kedudukan ekonomi keluarga, tetapi juga untuk meningkatkan ekonomi ummah dan memartabatkan agama. Berkorban untuk agama boleh menjadi pendorong utama kepada usaha yang bersungguh-sungguh ini.

Semoga dengan cara ini, kita sentiasa ingat kepada tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dan terhadap ummah keseluruhannya.

Oleh yang demikian, marilah kita menghayati erti pengorbanan dengan mengamalkan sikap suka berkorban dalam apa jua bidang bila diperlukan.

Sesungguhnya betapa mulianya bila kita membudayakan sikap suka berkorban berdasarkan kemampuan masing-masing terutamanya demi kemaslahatan ummah sejagat seperti, berkongsi ilmu bagi orang yang berilmu dalam usaha membina ketamadunan ummah, berkongsi akal fikiran dalam melahirkan masyarakat yang bijaksana, berkongsi harta benda dan tenaga bagi membantu orang yang memerlukan bantuan sebagai usaha bagi mewujudkan hubungan baik dengan sesama manusia, menumpukan masa untuk melaksanakan perintah Allah walau dalam apa keadaan sekalipun bagi memelihara hubungan baik dengan Allah Taala dan pengorbanan jiwa dan raga sebagaimana yang dilakukan oleh angkatan tentera demi menjaga keamanan dan keselamatan negara serta masyarakat.

Semoga Aidil Adha kita pada kali ini lebih bermakna dan mendapat ganjaran yang melimpah-ruah dari Allah Subhanahu wa Taala. Saya akhiri dengan kalimah Alah dari Surah al-Kausar ayat 2, yang bermaksud,
"Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah(berqurban untuk Tuhanmu)”

Wassalam…

Bakal akauntan bertauliah,
WanHaffiz
MMU Melaka

Ya Allah, Tambahkanlah Daku Ilmu Pengetahuan

Hati itu Ibarat Raja dan Anggota itu Ibarat Rakyatnya. Begitulah perumpamaan yang boleh disimpulkan bilamana Rasulullah saw bersabda: “Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati”. [Riwayat Imam Bukhari dan Muslim]

Hadis di atas sudah cukup untuk menggegarkan jiwa dan perasaan akan betapa pentingnya bagi kita untuk berupaya memimpin hati. Kerana jika hati tidak dipimpin oleh akal waras yg dipancari cahaya iman,maka yang akan memimpinnya ialah hawa nafsu. Allah telah memberi amaran akan bahaya hawa nafsu ini:

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan engkau khalifah di muka bumi, maka hukumlah di antara manusia dengan keadilan dan janganlah engkau turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah”. [38.Shaad: 26]

Oleh itu, Remaja Muslim mewajibkan dirinya untuk menjaga kesucian hati kerana hati yang memutuskan untuk memilih jalan mana yang hendak dilalui samada jalan itu jalan ketakwaan atau jalan kefasikan. Pada hatilah, tertanamnya niat dan dipusatkan keimanan dan keyakinan.

“maka Dia mengilhamkan kepadanya jalan (kejahatan) dan ketakwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. [91.Asy-Syams:8-10]

Salah satu syarat yang diperlukan untuk memimpin hati, seseorang itu harus sentiasa memperbanyakkan ilmu pengetahuan. Menurut Ustaz Fathi Yakan, akal akan menjadi sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiranya akal itu dapat melihat, mengetahui sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat menyedut sesuatu daripada ilmu yang kelak akan digunakan untuk mencapai tempat yang hampir dengan Allah, mengetahui kekuatan dan kebesaran Allah. Dengan kata lain, akal merupakan aset berharga bagi mukmin bertakwa untuk memperoleh ilmu yang mengasah keimanan dan keyakinan terhadap kewujudan Allah, kebesaranNya, janjiNya dan perintahNya. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang boleh membawa seseorang untuk mengenali Allah dan meningkatkan ketakwaan terhadapnya. Inilah dia ilmu yang benar dan sesiapa yang menguasainya,dianggap Allah sebagai orang berilmu. Oleh sebab itu, kita dapati firman Allah:

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hambaNya hanyalah ulamak (orang berilmu)” [Faathir:28]


Oleh itu,Remaja harus bangkit mencari ilmu pengetahuan. Banyakkan membaca kitab-kitab para ulama, buku bermanfaat, sirah Rasulullah, kisah-kisah sahabat, dan permasalahan umat Islam. Gunakan kudrat yang ada sekarang untuk mencapai kefahaman agama dan kemahiran.

“Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman agama" [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Jadikan satu ruang di kamarmu sebagai mini perpustakaan. Bukankah menyedihkan apabila menyaksikan Remaja Muslim yang begitu asyik mengisi masanya dengan membaca majalah berbaur unsur lucah, novel cinta semborono dan membiarkan diri mereka dilanda angan-angan yang menyiakan sedangkan ketika itu mereka dilanda penyakit hati. Dan terbiarlah seperti biasa kitab-kitab para ulama sebagai pameran dan perhiasan.

Jika Remaja membiarkan dirinya cetek ilmu pengetahuan, maka Remaja tersebut telah mencampakkan dirinya untuk menghidap penyakit syubhat. Penyakit syubhat ialah penyakit yang membuat orang ragu terhadap Penciptanya, Allah, kebimbangan, kegelisahan serta kebingungan yang dahsyat.

Apakah kamu tidak memerhatikan orang (Namruz, Raja Babilonia) yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan, “Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan”, orang itu berkata, “Saya dapat menghidupkan dan mematikan”. Ibrahim berkata, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat”, lalu hairan terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. [2.Al-Baqarah:258]

Justeru, bagi mengelakkan penyakit ini daripada menghinggap, remaja Muslim hendaklah membaca bahan ilmiah yang mendedahkan kehebatan alam semesta ciptaan Allah dengan dikuatkan lagi oleh dalil-dalil Al-Qur’an serta buku yang menjawab isu-isu salah faham terhadap Islam yang ada dalam masyarakat. Selain itu, aktiviti merenungkan, menghayati, memikirkan alam semesta ciptaan Allah dan berzikir kepada Allah juga membantu menghilangkan penyakit syubhat dan mendatangkan ketenteraman.


“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka” [Ali-Imraan:190-191]

Secara ringkasnya, kunci untuk mengubati penyakit syubhat ini adalah dengan, ILMU, FIKIR, LIHAT, ZIKIR dan IBADAH SUNAT.

-Diambil dan diolah semula daripada Karya Penulis sendiri bertajuk 'Menjadi Remaja Muslimah Penuh Teladan'

Monday, November 8, 2010

Kelebihan 10 hari-hari pertama Zulhijjah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.” Para sahabat baginda bertanya, “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda, “Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”.

Imam Ahmad r.a. meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya:
  1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya: Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
  2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
    Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.
  3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
  4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
  5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
    Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
  6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
    Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
  7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
  8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. Di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
    Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
    Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
  9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
    Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
  10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Oleh:

Ustaz Abdul Halim Abdullah,

Naib Presiden I,

Ikatan Muslimin Malaysia

Blog: Ini Jalanku