KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Thursday, April 14, 2011

Café Cinta tarik penyertaan lebih 500 belia wanita dari seluruh Melaka

Masjid Al – Azim, Melaka – Lebih 500 belia wanita dari seluruh pelusuk negeri menyertai Café Cinta yang julung-julung kalinya diadakan anjuran bersama Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Melaka dengan kerjasama Kelab Remaja ISMA telah berlangsung di Masjid Al ‘Azim, Melaka.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Wanita ISMA, Ustazah Rosita Rejab. Turut hadir ialah Naib Presiden I PEMBINA pusat, Saudara Aizuddin, Naib Presiden II PEMBINA Pusat,Nor Hasni Hayati dan AJK ISMA Ustazah Norazimah.

Café Cinta yang berlangsung seawal jam 7 pagi sehingga 2 petang ini berkonsepkan santai dan bicara cinta yang disampaikan melalui talk show, ceramah, sajak, nasyid dan fashion show.

“Kita disogokkan dengan pelbagai isu semasa yang menimpa belia wanita kebanyakannya adalah negatif seperti seks bebas dan buang bayi dari pelbagai arah. Hal ini kian meruncing dengan bertambahnya gejala-gejala sosial termasuk keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat kita yang berpunca dari lemahnya kawalan terhadap fitrah cinta yang dianugerahkan. Atas sebab itu, PEMBINA terpanggil untuk bersama menggembleng tenaga memancarkan gelombang positif kepada masyarakat terutamanya golongan belia wanita. Salah satu usaha PEMBINA adalah dengan penganjuran Café Cinta yang mana telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh Melaka” jelas Dr Syarifah Hashim Pengarah Café Cinta berkenaan objektif PEMBINA menganjurkan program ini.

Beliau turut menekankan bahawa penganjuran Café Cinta hanya merupakan permulaan kepada banyak lagi program – program yang bakal dianjurkan dalam usaha untuk membina masyarakat amnya khususnya belia wanita kearah kehidupan yang lebih baik.

Sejajar dengan tema Seminar ‘dirimu permata Islam’, golongan belia amnya dan khususunya wanita perlu sedar peri pentingnya pembentukan diri untuk menjadi permata yang bersinar dengak akhlak dan keperibadian yang mulia sesuai seperti yang digariskan dan dituntut Islam.

Menurutnya lagi, PEMBINA merancang untuk mengadakan seminar seumpama itu itu sebagai acara tahunan sebagai medium untuk memantapkan lagi jati diri di kalangan belia khususnya wanita.

Seorang peserta, Dzamharirah, 22 tahun, ketika ditemui menyambut baik program tersebut dan menyifatkan ia sesuatu yang perlu diteruskan pada masa hadapan dalam usaha memberi kesedaran dan kefahaman kepada golongan belia.

“Melalui seminar ini, saya lihat kita dapat memberikan kesedaran terutama kepada golongan belia tentang betapa beharganya kita sebagai wanita dan betapa islam mengangkat dan meletakkan kedudukan kita di tempat yang mulia sejajar dengan peranan kita.

“Usaha ini dilihat sebagai satu langkah untuk menyedarkan belia tentang bahayanya cinta andai ia tidak dikawal oleh landasan syariat,” ujarnya.