Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Melaka
SUNGAI UDANG, 7 - 9 Mei 2010 – Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka melakar sejarah apabila buat pertama kalinya diberi peluang untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM) dalam penganjuran Kem Bina Sahsiah dan Jatidiri Remaja bertempat di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang. Bertemakan “Memantapkan Ukhuwah Memperkasa Ummah”, kem 3 hari 2 malam anjuran Kerajaan Negeri Melaka ini berjaya mengumpulkan seramai 92 orang pelajar tingkatan 4 daripada lebih 20 buah sekolah menengah harian terpilih di seluruh Melaka. Para peserta yang hadir ini terdiri daripada barisan kepimpinan di sekolah masing-masing.
Program dimulakan dengan sesi taklimat pada jam lima petang oleh pihak urusetia JAIM. Usai makan malam dan solat Isyak berjemaah, para peserta berkumpul di Dewan Utama bagi mengikuti sesi “Ice Breaking” yang dikendalikan oleh En Sulaiman bin Abd Rahman. Para peserta kelihatan seronok mengikuti aktiviti-aktiviti yang menarik bagi meleraikan perasaan segan dan malu meskipun baru pertama kali berjumpa. Selesai slot “Ice Breaking”, program diteruskan dengan slot Mengenali Diri dan Potensi Diri oleh Encik Muhammad Aizat bin Rasli. Melalui slot ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai bentuk personaliti seorang pemimpin yang dapat membantu mereka menggalas tugas sebagai pemimpin kelak.
Hari kedua program dimulakan dengan aktiviti Qiamulail pada jam 4.30 pagi. Selesai solat Subuh, para peserta menuju ke dewan untuk mengikuti Slot “Sharing Is Caring”. Dalam slot ini, para peserta ditayangkan video berkisarkan tentang remaja perempuan contoh bernama Siti Fatimah yang merupakan Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2006 dengan keputusan 18A. Video tersebut memberikan sumber inspirasi kepada para peserta untuk mencontohi watak Siti Fatimah yang merupakan watak remaja zaman ini yang sangat hampir usianya dengan peserta. Kemudiannya, peserta melakukan aktiviti senaman pagi sebelum menikmati sarapan pagi dan hemat diri. Slot yang kedua bertajuk “Remaja Muslim - Dari Mana Nak Ke Mana” disampaikan oleh En Mursyidi bin Mohammad. Pelajar diterapkan tentang motivasi dan kesedaran untuk bangkit menjadi remaja Muslim cemerlang, bukan sahaja dalam aspek akademik semata-mata malah dalam aspek ibadah, akhlak, ilmu pengetahuan dan juga penjagaan kesihatan tubuh badan.
Pada sebelah petangnya, program diteruskan dengan slot Eksplorasi Alam oleh Cikgu Abdul Razak bin Kassim. Slot ini sedikit sebanyak membuka minda para peserta akan keluasan dan kehebatan ciptaan Allah yang Maha Berkuasa yang tiada tandingannya. Gaya penyampaian penceramah seakan-akan membawa peserta menjelajah kehebatan dan rahsia alam semesta yang terbentang luas. Program kemudiannya diteruskan dengan sesi LDK dan aktiviti “Team Building”. Keseronokan jelas terpancar di wajah peserta ketika menjalani aktiviti ‘Teambuilding’ yang ternyata banyak menguji ketangkasan dan semangat kerjasama sesama mereka.
Untuk sesi malam, peserta disajikan pula dengan aktiviti “Jejak Si buta” dan “Sebelum Mata Terlena”. Pelbagai ragam dan aksi ditonjolkan oleh peserta untuk melepasi halangan sewaktu aktiviti ‘Jejak Si Buta’. Manakala, slot “Sebelum Mata Terlena” pula berjaya memberikan kesedaran kepada peserta akan jasa dan pengorbanan ibu dan ayah sejak dari kecil. Suasana berubah menjadi sayu dan air mata penyesalan tidak dapat ditahan daripada mengalir.
Hari terakhir kem dimulakan dengan ceramah bertajuk “Towards A Brighter Future” yang disampaikan oleh Ustaz Zaidi bin Abd Jalil. Di dalam slot ini, kehebatan peribadi Sultan Muhammad Al-Fatih menjadi intipati utama penyampaian agar para peserta dapat mencontohi ciri-ciri hebat seorang pemuda yang ada pada tokoh agung ini. Dengan berakhirnya slot tersebut, Kem Bina Sahsiah dan Jatidiri Remaja semakin menghampiri ke kemuncaknya. Ucapan perasmian disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Hj Ghazale bin Muhamad selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Melaka yang mana dalam ucapan beliau, beliau telah menyatakan penerimaan baik terhadap jalinan kerjasama antara Jabatan Agama Islam Melaka dan Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Akhir kalam, KRIM Melaka ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka di atas peluang untuk mengendalikan kem, Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Pelajaran negeri Melaka atas kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan program ini. Semoga program ini diberkati oleh Allah S.W.T. dan membantu melahirkan pemimpin yang unggul di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment