KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Monday, June 14, 2010

Get2Gather KRIM Melaka Menggamit Suasana

Ayer Keroh, Sabtu 12 Jun - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka telah julung-julung kalinya menganjurkan sebuah program santai bercorak "treasure hunt" dan BBQ pada tahun 2010 ini di bawah keindahan redup tumbuhan hutan hujan tropika di Taman Botanikal Melaka. Mengambil peluang daripada Cuti Sekolah Semester yang berlanjutan sehingga dua minggu, seramai 24 org peserta yg terdiri daripada pelajar sekolah seluruh Melaka telah mendaftarkan diri di perkarangan pentas terbuka Muzium Perhutanan seawal 9 pagi lagi. Rata-ratanya, ramai yang telah mengenali KRIM daripada program-program yang pernah disertai sebelum ini seterusnya membuatkan program kali ini juga cukup bermakna sebagai 'platform reunion' para peserta. Manisnya, program yang bertemakan "Ukhwah Itu Indah" ini turut diserikan dengan kehadiran abang-abang dan kakak-kakak fasilitator dari Persatuan Belia Islam Nasional atau ringkasnya, PEMBINA.



Slot Get2Gather dimulai dengan taaruf sesama peserta dan aktiviti 'ice breaking' yang menyaksikan gelagat para peserta menggayakan nama masing-masing. Adik-adik peserta yang asalnya sedikit malu-malu tampak semakin mesra dan bersemangat setelah acara ice-breaking dikemudikan oleh aksi bersahaja abang Hazri. Tepat jam 10.30, para peserta terus dibahagikan kepada 4 kumpulan berbeza dengan masing-masing diberi tugasan untuk memilih ketua dan nama kumpulan masing-masing. Mereka kemudiannya terus diberikan taklimat berkenaan 'treasure hunt' yang akan dilakukan sekitar taman botanikal. Sebaik saja diserahkan dengan klu dan soalan, setiap kumpulan terus berangkat menandakan bermulanya "treasure hunt" kali ini. Sebanyak empat buah checkpoint menarik telah disediakan di mana mereka perlu melakukan pelbagai aktiviti di samping menyelesaikan soalan-soalan yg diberi sepanjang perjalanan.



Antara yang menarik perhatian ialah checkpoint scanner buruk yang memerlukan setiap peserta menghafal dan menyampaikan cerita pendek kepada peserta seterusnya setelah menempuh laluan berhalangan. Ternyata, ia tidak semudah seperti yang disangka apabila cerita pendek yang perlu dihafal berubah kepada pelbagai bentuk cerita yang melucukan. Usai aktiviti treasure hunt yang berlangsung selama dua jam, kepenatan para peserta terus saja diubati dengan hidangan ayam dan sosej BBQ. Ditambah dengan mihun goreng dan coleslaw, semua juadah disantap enak oleh para peserta mahupun para fasilitator.

Akhirnya, program get2gather yang telah berlangsung selama separuh hari ditutup dengan sesi refleksi dan "debriefing" terhadap segala aktiviti yang berlangsung. Pengisian rohani bertajuk "Ukhwah Itu Indah", iaitu tema program pada hari tersebut juga telah disampaikan oleh Pengarah KRIM Melaka, Saudara Mursyidi Bin Mohammad. Kumpulan Jihad yang terdiri daripada peserta perempuan muncul sebagai johan untuk Treasure Hunt kali ini. Tahniah diucapkan kepada kumpulan tersebut.

Selain dapat mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti yang berfaedah, perhimpunan kembali dikalangan para peserta program-program KRIM Melaka juga adalah medan yang terbaik untuk mengeratkan lagi ukhwah dikalangan fasilitator dan bekas-bekas peserta KRIM. Diharapkan, ukhwah yang terjalin di dalam program yang singkat tetapi bermakna ini akan terus terjalin. Kami dari KRIM Melaka akan terus bersemangat untuk mengadakan sesi-sesi seperti ini di masa hadapan. JUMPA LAGI INSYAALLAH!!

No comments:

Post a Comment