KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Thursday, July 8, 2010

Seminar Kerjaya 2010 Melakar Sejarah

Batu Berendam, 3 Julai 2010 – Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka melakar sejarah apabila buat julung-julung kalinya berjaya menganjurkan Seminar Kerjaya 2010. Seminar ini merupakan anjuran bersama KRIM Melaka, SMKA Sultan Muhammad dan SMK Munshi Abdullah dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Melaka Tengah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bertempat di Dewan SMKA Sultan Muhammad, seramai hampir 250 orang pelajar daripada enam sekolah menengah di daerah Melaka Tengah telah menghadiri Seminar Kerjaya ini. Program separuh hari ini dihadiri oleh pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada SMKA Sultan Muhammad, SMK Munshi Abdullah, SMK Tun Mutahir, SMK Tun Haji Abdul Malek, SMK Ayer Keroh dan SMKA Syarifah Rodziah.

Program Seminar Kerjaya 2010 ini diadakan untuk memberi peluang kepada para remaja, memahami dan meneliti peluang pekerjaan masa hadapan melalui pelbagai aliran pendidikan selepas mereka tamat zaman persekolahan kelak. Di samping itu, program ini memberi peluang kepada peserta untuk berkenalan dan merapatkan ukhuwah Islamiah di kalangan mereka. Program ini juga dimeriahkan lagi dengan pameran-pameran dari wakil IPTA & IPTS seperti Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Multimedia University (MMU), Politeknik Kota Melaka (PKM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kolej Yayasan Melaka (KYM) International dan juga pameran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka.

Majlis perasmian dimulakan pada jam 9 pagi dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis dan diikuti oleh ucapan Yang Di Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Melaka, Ustaz Ahmad Zainal Abidin, mewakili KRIM sebagai pihak penganjur. Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengetua SMKA Sultan Muhammad, Tuan Haji Arifin Omar bagi pihak Pejabat Pelajaran Daerah Melaka Tengah.

Usai majlis perasmian, program diteruskan dengan pembentangan yang pertama iaitu “Halatuju selepas SPM” oleh saudara Nurul Aizam Zaini, AJK Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang bekerja sebagai Pembantu Pengurus, VISA dan Pelajar Luar Negara di Multimedia University. Dalam sesi ini, beliau telah menjelaskan bidang-bidang pekerjaan yang sedia ada di pasaran dan memperincikan elemen yang perlu ada pada setiap pelajar bagi meningkatkan ‘kebolehpasaran’ apabila menceburi bidang pekerjaan yang semakin mencabar di era permodenan ini. Beliau turut mengingatkan pelajar agar berusaha melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran “inter-personal” atau “soft skill” kerana kelulusan akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk memohon biasiswa dan pekerjaan kelak.

Slot yang kedua bertajuk “Peluang Pengajian dan Tajaan oleh MARA” pula diisi oleh Pegawai Latihan dan Kerjaya MARA Negeri Melaka, Puan Hanifah Bt Abdullah. Para pelajar didedahkan dengan peluang-peluang pengajian yang disediakan oleh MARA untuk peringkat sijil, diploma dan ijazah. Beliau turut menerangkan syarat-syarat dan bagaimana untuk memohon tajaan MARA samada di dalam atau luar negara. Untuk slot perkongsian kerjaya pula, tiga orang penceramah dijemput khas bagi berkongsi pengalaman dan ilmu dalam bidang keusahawanan, perubatan dan kejuruteraan iaitu Puan Siti Affiza Bt Mohammad, Pengetua Tadika Aulad Musleh, Dr Nur Faridah Zulkhaini, bekerja sebagai doktor di United Kingdom selama 2 tahun dan En Mursyidi b Mohammad, Jurutera Mekanikal di Petronas Penapisan Melaka Sdn Bhd. Para pelajar telah memberikan sambutan yang menggalakkan dengan mengajukan pelbagai soalan kepada penceramah.

Program seminar kerjaya ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengarah KRIM Melaka merangkap pengarah program, En Mursyidi Mohammad. Dalam ucapan penutup, beliau menegaskan kepentingan mempunyai halatuju dan matlamat yang jelas. Beliau juga mengingatkan agar jangan sekali-kali berputus asa sekiranya kita mengalami kegagalan kerana berapa kali kita jatuh itu tidak penting tetapi yang pentingnya ialah bagaimana kita bangun semula setelah kita jatuh.

Pihak KRIM Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih khusus kepada Jabatan Pelajaran Melaka dan Pejabat Pelajaran Daerah Melaka Tengah di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Seminar Kerjaya 2010 ini. Terima kasih juga kepada pihak SMK Mushi Abdullah atas kerjasama dan pihak tuan rumah, SMKA Sultan Muhammad yang telah menyediakan fasiliti terbaik dan tenaga sokongan dari kalangan para kaunselor sekolah yang telah menjayakan program ini. Tidak lupa kepada wakil MARA, ISMA, PEMBINA dan IPT/S serta sekolah-sekolah yang mengambil bahagian. Semoga program ini diberkati oleh Allah S.W.T dan mendatangkan pelbagai kebaikan buat semua yang terlibat.

No comments:

Post a Comment