KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Thursday, June 23, 2011

Slot Bengkel Kerjaya Perkongsian Penuh Manfaat Kepada Para Pelajar

18 Jun 2011- Teluk Mas, Melaka: Peluang memanfaatkan bengkel kerjaya yang berlangsung dalam program Seminar Kerjaya 2011 tidak dilepaskan begitu sahaja oleh sejumlah lebih 300 pelajar dari beberapa buah sekolah di sekitar negeri Melaka baru-baru ini.

Mereka yang hadir adalah terdiri daripada para pelajar tingkatan empat dan lima. Menariknya program yang dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA dengan kerjasama SMK (A) Sharifah Rodziah itu telah menyediakan slot Bengkel Kerjaya yang terbahagi kepada lima bidang kerjaya yang produktif seiring dengan perkembangan ekonomi negara masa kini. Lima bidang tersebut adalah Kejuruteraan, Keusahawanan, Perakaunan, Keagamaan dan Perubatan.

Dalam setiap bilik bengkel tersebut, penganjur telah menampilkan ikon dari wakil ISMA yang terdiri daripada jurutera, akauntant, doktor perubatan, pensyarah agama dan usahawan.

Ternyata lima bidang yang dikongsikan oleh mereka yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing itu dapat membantu para pelajar yang hadir menambah pengetahuan dan terus memupuk minat yang mendalam dalam bidang diminati. Keluhuran hati para penceramah jemputan berkongsi maklumat dan peluang kerjaya di bengkel masing-masing membuatkan para pelajar teruja dan tidak segan silu untuk mengajukan soalan-soalan dalam sesi berkenaan seperti yang diperhatikan berlaku di bengkel perubatan, perakaunan dan keusahawanan.

SMK (A) Sharifah Rodziah berasa bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah pada tahun ini berikutan melihat manfaat yang besar kepada bukan setakat buat para pelajar sekolahnya sahaja malahan juga dari sekolah lain terutamanya apabila program yang dianjurkan pada tahun ini mempunyai slot bengkel kerjaya sedemikian.

No comments:

Post a Comment