ALAI, 26-27 Mac 2010 – Kelab Remaja ISMA (KRIM) telah berjaya menjalankan Kursus Kepimpinan kepada barisan kepimpinan pelajar tingkatan satu, dua dan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Sharifah Rodziah yang kebanyakannya adalah pengawas sekolah dan selebihnya adalah Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) serta pustakawan sekolah baru-baru ini. Para peserta yang hadir adalah sekitar 64 orang.
Kursus tersebut dimulakan pada pukul 3.15 petang dengan Ucapan Aluan, sessi Ice Breaking dan slot pengisian pertama bertajuk ‘Remaja: Dari Mana Nak Ke Mana?’. Slot ini adalah bertujuan untuk menerapkan kesedaran terhadap para pelajar tentang matlamat hidup yang sebenar sebagai pelajar Muslim. Pada sebelah malamnya, para peserta disajikan dengan slot: What’s in the Bee? Yang disampaikan oeh Saudari Salmi binti Dikun. Slot ini merupakan slot yang menggabungkan tayangan visual tentang lebah, pembentangan setiap kumpulan dan huraian tentang hubungkait antara lebah dan ciri-ciri kepimpinan. Para peserta kelihatan seronok dan teruja dengan slot ini justeru penemuan-penemuan baru yang mereka temui melalui makhluk ciptaan Allah yang unik ini iaitu Lebah!
Usai Qiamullail dan Solat Subuh berjemaah, para peserta mengikuti pula slot Tadabbur Alam di mana setiap fasilitator membawa setiap kumpulan keluar menikmati udara segar serta memberikan perkongsian ringkas berkaitan kehebatan alam ciptaan Allah. Slot yang ringkas ini sedikit-sebanyak bertujuan untuk mengasah tauhid dan menyuburkan lagi perasaan cinta para peserta terhadap Allah.
Para peserta kemudian menikmati sarapan pagi dan hemat diri.
Sekitar jam 7.45pagi, para peserta mengikuti slot ‘Teambuilding’ dan pada 8.45 pagi, para peserta berkumpul semula di dewan bagi mengikuti slot Discover Personality Trait oleh Encik Muhammad Aizat bin Rasli. Melalui slot ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai bentuk personaliti seorang pemimpin yang seterusnya membantu mereka menggalas tugas memimpin kelak. Slot ‘True Leaders’ menyusul setelah minum pagi dan penceramah slot ini iaitu Puan Hidayah telah menekankan gejala sosial remaja tidak sihat yang pemimpin pelajar harus peka dan hindarkan diri serta contoh-contoh tokoh Islam tersohor satu ketika dahulu.
Dengan berakhirnya slot True Leaders, Kursus Kepimpinan ini semakin menghampiri ke kemuncaknya. Ucapan penutup disampaikan oleh Guru Penolong Kanan HEM 1, Pn Hatina binti Yakub. Beliau menasihati para peserta agar memanfaatkan apa yang didapati daripada kursus ini. Manakala, ucapan perasmi disampaikan oleh Yang Dipertua ISMA Melaka, Ustaz Ahmad bin Zainal Abidin. Ustaz Ahmad mengingatkan para peserta agar berusaha kerana usaha merupakan sebahagian daripada sunnatullah (undang-undang Allah) yang mengharuskan seseorang untuk menjalankannya bagi mencapai sesuatu kejayaan.
Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kursus ini terutamanya pihak sekolah Sharifah Rodziah serta guru kaunselor atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan. Selamat Maju Jaya kepada peserta Kursus Kepimpinan kali ini dan semoga ANDA SEMUA dapat membawa arus positif di sekolah tanpa putus asa dan dengan semangat juang yang tinggi! Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. [Ar-Ra’d:11]
Dilaporkan oleh
Siti Amalia Samaruddin
Timbalan Pengarah KRIM
No comments:
Post a Comment