Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
“10 Zulhijjah”- Masihkah kita ingat akan tarikh ini? Atau masihkah ada jiwa-jiwa lalai yang lupa atau buat-buat lupa tentang peristiwa besar yang berlaku pada hari tersebut? Andai ada yang lupa, kalimah agung Allah dari Surah as-Saffat, ayat 102-109 ini mungkin dapat mengingatkan kembali.
Antaranya Allah menyatakan,
Maksudnya:
“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: ‘Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar. Setelah keduanya telah berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim A.S. merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tumpuk tanah (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami, serta Kami menyerunya, “Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata, dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. “ Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim”.
Dari ayat-ayat tersebut, Allah menceritakan, bagaimana keimanan yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim a.s. dapat melaksanakan perintah Allah, sekalipun terpaksa mengorbankan jiwa anak kesayangannya Ismail a.s. Begitu juga kekuatan iman Nabi Ismail a.s. yang sedia menerima perintah sekalipun dirinya sebagai taruhan. Pengorbanan dan kesabaran seperti ini yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa kita agar kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran dalam kehidupan dunia ini, dalam kita melaksanakan segala perintah Allah s.w.t.
Sedar tak sedar, sebenarnya pengorbanan begitu besar ertinya dan begitu luas, bukan setakat membawa maksud menumbangkan seekor lembu atau unta dan kemudiannya mengagih-agihkannya. Ramai dari kita yang masih belum sedar akan peri pentingnya pengorbanan. Jikalau konsep pengorbanan yang sebenar-benarnya dijadikan tunjang dalam hidup kita, nescaya keadaan umat Islam pada hari ini mungkin jauh lebih baik.
Kita sama-sama maklum, antara dua kelemahan utama umat Islam hari ini ialah dari segi penguasaan ilmu dan ekonomi. Jika kita menguasai ilmu, kita akan dapat memajukan ekonomi kita dan sekiranya kita dapat menguasai ekonomi, ia dapat memperkasakan lagi penguasaan ilmu kita. Kedua-dua usaha ini amat dituntut oleh Islam. Malangnya, banyak negara Islam yang gagal memenuhi tuntutan ini.
Mengapa tidak kita aplikasikan konsep pengorbanan untuk menguasai kedua-dua perkara ini? Pengorbanan untuk menguasai ilmu bukan hanya merujuk kepada pengorbanan dari segi kewangan.Yang lebih penting ialah pengorbanan di pihak individu, lebih-lebih lagi pelajar Islam untuk menuntut ilmu dan pengajian berbanding perkara-perkara lain. Bagi ibu bapa, seeloknya kita mendahulukan keperluan pendidikan anak-anak, berbanding keperluan kebendaan yang bersifat kosmetik. Begitu juga, pengorbanan masyarakat hendaklah mengutamakan majlis ilmu berbanding kecintaan kepada hiburan yang melulu.
Penguasaan ekonomi juga perlu dilihat dengan cara yang serupa. Baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Semua umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi menyumbang kepada kekuatan ekonomi ummah. Bekerja, baik bekerja sendiri mahupun makan gaji, perlu diniatkan sebagai satu usaha bukan hanya untuk mencari makan atau meneguhkan kedudukan ekonomi keluarga, tetapi juga untuk meningkatkan ekonomi ummah dan memartabatkan agama. Berkorban untuk agama boleh menjadi pendorong utama kepada usaha yang bersungguh-sungguh ini.
Semoga dengan cara ini, kita sentiasa ingat kepada tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dan terhadap ummah keseluruhannya.
Oleh yang demikian, marilah kita menghayati erti pengorbanan dengan mengamalkan sikap suka berkorban dalam apa jua bidang bila diperlukan.
Sesungguhnya betapa mulianya bila kita membudayakan sikap suka berkorban berdasarkan kemampuan masing-masing terutamanya demi kemaslahatan ummah sejagat seperti, berkongsi ilmu bagi orang yang berilmu dalam usaha membina ketamadunan ummah, berkongsi akal fikiran dalam melahirkan masyarakat yang bijaksana, berkongsi harta benda dan tenaga bagi membantu orang yang memerlukan bantuan sebagai usaha bagi mewujudkan hubungan baik dengan sesama manusia, menumpukan masa untuk melaksanakan perintah Allah walau dalam apa keadaan sekalipun bagi memelihara hubungan baik dengan Allah Taala dan pengorbanan jiwa dan raga sebagaimana yang dilakukan oleh angkatan tentera demi menjaga keamanan dan keselamatan negara serta masyarakat.
Semoga Aidil Adha kita pada kali ini lebih bermakna dan mendapat ganjaran yang melimpah-ruah dari Allah Subhanahu wa Taala. Saya akhiri dengan kalimah Alah dari Surah al-Kausar ayat 2, yang bermaksud,
"Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah(berqurban untuk Tuhanmu)”
Wassalam…
Bakal akauntan bertauliah,
WanHaffiz
MMU Melaka
No comments:
Post a Comment