KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Monday, November 8, 2010

Kelebihan 10 hari-hari pertama Zulhijjah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.” Para sahabat baginda bertanya, “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda, “Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”.

Imam Ahmad r.a. meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya:
  1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya: Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
  2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
    Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.
  3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
  4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
  5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
    Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
  6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
    Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
  7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
  8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. Di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
    Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
    Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
  9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
    Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
  10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Oleh:

Ustaz Abdul Halim Abdullah,

Naib Presiden I,

Ikatan Muslimin Malaysia

Blog: Ini Jalanku

Wednesday, October 13, 2010

Jom Kita Sertai JIRIM2



JOM KE JIRIM....best....seronok...

Ada apa dalam JIRIM @ Jambori Remaja Muslim ni?
Berkhemah di tepi sungai

Islamic War games

Indoor activities

Water games

Kembara Quran
Jungle Trekking

dan macam-macam lagi...

Untuk adik2 dari sekitar negeri Melaka yang berminat untuk menyertai, anda boleh hubungi Pengarah KRIM Melaka iaitu En Mursyidi di talian 013-2070696.

Juga boleh layari www.jirim2.blogspot.com

YURAN hanya RM 100 = 3 hari 2 malam...
(dapat buku KOLEKSI CERPEN ISLAMIK KRIM yang pertama...percuma!!)

Berbaloi-baloi...

Sunday, September 19, 2010

Rumah Terbuka Eidul Fitri ISMA Melaka

Assalamu’alaikum warohmatullahi wabarokatuh,

Sukacita dimaklumkan bahawa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Melaka menjemput semua muslimin, dan muslimat ke Rumah Terbuka Eidul Fitri ISMA Melaka pada 26 September 2010 (Ahad) bersamaan dengan 17 Syawal 1431 Hijrah bermula jam 3.00 hingga 6.00 petang bertempat di Dewan Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, Melaka. (Bersebelahan dengan Pejabat ISMA Melaka dan Surau Barokah)

Tentatif

  • Tetamu hadir
  • Jamuan
  • Kata-kata aluan pengerusi majlis
  • Bacaan doa
  • Ucapan Perasmian oleh YDP ISMA Melaka
  • Persembahan Nasyid Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)
  • Persembahan NAZIM
  • Solat Asar
  • Jamuan
  • Bersurai

Peta

Anjuran
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Melaka

Dengan kerjasama
Kelab Remaja ISMA (KRIM), Cawangan Melaka
Persatuan Belia Islam Nasional (Melaka)

Saturday, September 18, 2010

SALAM AIDILFITRI KEPADA WARGA KRIM SELURUH MALAYSIA

Assalamualaikum, salam sejahtera buat para remaja muslim seluruh malaysia. Mudah-mudahan sehat belaka dan dalam keadaan baik.

Barangkali ada yang sudah pulang beraya di kampung halaman ataupun hanya beraya di kediaman masing-masing dek persediaan UPSR, PMR & SPM yang bakal menjelang. Mungkin juga ada yang dah tak sabar-sabar memakai pakaian baru, menyentap kuih raya mahupun ‘bergaya sakan’ di depan cermin. Apa pun, semoga segala usaha menjadi baik dan amal soleh yang kita lakukan tidak terhenti apabila berlabuhnya tirai ramadan, Syeikh Yusuf al Qardawi berkata

“JADILAH KAMU HAMBA KEPADA ALLAH SEPANJANG MASA, BUKAN KETIKA BULAN RAMADAN SAHAJA”

Alhamdulillah, setelah sebulan melalui madrasah tarbiyah ini, tibalah masa untuk kita sama- sama meraikan kemenangan kita dalam mengharunginya. Kitalah yang menilai dan kita lah yang menentukan setakat mana layaknya kita untuk meraikan kemenangan tersebut.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian.

Barangkali pada ketika ini suasana dan kemeriahan sambutan Aidilfitri telah dapat di rasai oleh kita semua. Ramadhan yang sarat dengan iktibar dan pendidikannya yang tersendiri mengundur diri tanpa ada sebarang ikatan untuk bertemu lagi pada tahun hadapan. Namun apa yang ditinggalkan oleh Ramadhan pastinya merupakan sesuatu yang amat bermakna untuk kita

Saya mengucapkan setinggi – tinggi tahniah kepada semua warga KRIM atas kejayaan yang ditempa oleh anda semua dalam mengharungi Ramadhan. Sama- samalah kita berdoa semoga kita dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Akhir kata suka saya mengingatkan diri saya dan juga para remaja di luar sana agar kemeriahan syawal ini dilalui dengan sebaik mungkin. Janganlah ianya dicemari dengan aksi – aksi yang membahayakan keselamatan ataupun pergaulan- pergaulan yang tidak sihat. Sebagai seorang muslim kita diajar dan dididik oleh Islam untuk meraikan kemenangan dengan caranya yang tersendiri iaitu dengan penuh syukur dan istighfar. Sepertimana firman Allah swt dalam surah An-Nasr.

SEkian. Selamat menyambut Aidilfitri. Semoga anda semua dalam keberkatan dan kebaikan Allah sepanjang masa…

Cikgu Asmadi,

Pengarah KRIM Pusat

SEJARAH BERMULA DI KOMPLEKS PKNS SHAH ALAM

Pada 28 ogos yang lalu telah berlangsung dengan gilang-gemilangnya Majlis Penganugerahan Pemenang cerpen Islami anjuran Kelab Remaja ISMA dan Telaga Biru sdn bhd di kompleks PKNS Shah Alam, Selangor. Pelancaran buku koleksi cerpen pemenang-pemenang juga diadakan serentak bersama majlis tersebut.

Majlis Anugerah ini telah menjemput tetamu kehormat, Ust. Abdullah Zaik, presiden ISMA, Mejar Nazri Osman, Pengerusi Kelab Remaja ISMA, En. Mohd Hazli Hasan, Ketua Unit Sains Sosial PPD Petaling Perdana dan En. Faruq Zahran, wakil Telaga Biru sdn bhd. Ia juga dimeriahkan dengan kehadiran kebanyakkan pemenang-pemenang cerpen Islami, terdapat juga pemenang yang tidak dapat hadir atas sebab trial SPM dan jarak lokasi.


barisan tetamu kehormat

Hari yang penuh sejarah itu bermula seawal jam 9.30 pagi, dengan ucapan alu-aluan daripada para tetamu kehormat. Ucapan dimulakan oleh Pengerusi KRIM, Mejar Nazri Osman yang mengingatkan tentang keadaan remaja hari ini dan juga usaha yang serius perlu segera dilaksanakan untuk membimbing mereka. KRIM tampil untuk menyahut seruan itu dari segenap aspek untuk membawa remaja Malaysia kembali melakarkan kegemilangan bangsa dan Islam.

Ucapan daripada Pengerusi Kelab Remaja ISMA (KRIM)

Sesi ucapan kemudiannya bersambung dengan ucapan daripada wakil PPD, En. Mohd Hazli Hasan dan juga wakil Telaga Biru sdn bhd, En. Faruq Zahran. Seterusnya majlis telah menjemput Ust Abdullah Zaik untuk berucap dan merasmikan pelancaran koleksi cerpen Islami untuk pasaran umum.


ucapan aluan Presiden ISMA



perasmian buku koleksi cerpen islami yang bertajuk

“REVOLUSI IMAN”

Majlis turut disajikan dengan nasyid daripada kumpulan SOHWAH dari Persatuan Belia Islam Nasional dan kumpulan DAIE daripada Akademi Ikatan Muslimin yang dijemput khas dari Perak.



kumpulan SOHWAH daripada Persatuan Belia Islam Nasional



wakil Naib Johan dari Kedah

Setelah pengunjung berhibur, tibalah saat yang dinantikan iaitu sesi penganugerahan pemenang cerpen Islami oleh Ust Abdullah Zaik diiringi oleh para tetamu kehormat. Anugerah dimulakan dengan para pemenang saguhati dan diikuti dengan pemenang tempat ketiga TENGKU FATIMAH AZZAHRA daripada SMKA Kuala Abang, Naib Johan SITI NOR SYUHADA BT AHMAD SANUSI daripada SMK Jitra dan Johan pertandingan Cerpen ISLAMI NUR NATASHA BT MOHAMAD SAIN daripada SBPI Selandar, Melaka.

Untuk makluman, kebanyakkan pemenang cerpen ini terdiri daripada pelajar-pelajar SMK Teknik Bukit Piatu, Melaka. Sekolah tersebut telah menghantar penyertaan paling ramai dan juga majoriti pemenang cerpen adalah daripada sekolah tersebut…..


antara barisan pemenang yang hadir

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua peserta pertandingan CERPEN ISLAMI sama ada yang menang dan yang belum menang, hanya Allah yang berhak membalas keringat anda semua untuk menyertai pertandingan ini.

Semoga dengan pertandingan ini, menjadi titik permulaan kita, para remaja muslim bersungguh-sungguh dalam mendidik peribadi dengan akhlak yang soleh dan mendalami hakikat seorang remaja muslim…

REMAJA MUSLIM GENERASI IDAMAN

untuk gambar yang lebih banyak, sila klik

http://www.flickr.com/photos/fotoisma/

Wednesday, September 8, 2010

Majlis Anugerah Pemenang Cerpen Islami & Pelancaran Buku Cerpen KRIM

Paparan detik-detik menarik sepanjang “Majlis Anugerah Pemenang Cerpen Islami & Pelancaran Buku Cerpen KRIM” yang berlangsung di PKNS Shah Alam pada 28 Ogos 2010 yang lalu. Seramai 10 orang pemenang yang terpilih termasuklah Pemenang Hadiah Utama dan saguhati datangnya dari sekolah-sekolah sekitar Melaka iaitu SBPI Selandar, SMT Melaka Bukit Piatu dan SMKA Sharifah Rodziah. TAHNIAH diucapkan kepada pemenang-pemenang yang terpilih.

Untuk melihat koleksi gambar yang menarik sepanjang majlis ini, sila layari web ISMAmelaka di http://ismamelaka.com/v1/majlis-anugerah-pemenang-cerpen-islami-pelancaran-buku-cerpen-krim/

Monday, September 6, 2010

R&R KRIM Melaka Mengeratkan Lagi Ukhuwah

Sabtu 21 Ogos – Kelab Remaja ISMA (KRIM) Caw. Melaka telah menganjurkan program berbuka puasa dan tarawikh bersama sempena bulan Ramadhan yang mulia ini bertempat di Pejabat ISMA Melaka. Program yang diberi nama Remaja dan Ramadhan (R&R) ini telah disertai oleh enam orang peserta dan tujuh AJK KRIM Melaka. Ia telah berlangsung dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.

Program yang julung kali diadakan oleh KRIM Melaka ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi jalinan ukhwah yang telah terbina diantara ahli dan AJK KRIM di Negeri Melaka ini.

Menariknya program R&R ini telah diserikan dengan tayangan video istimewa berjudul Children of Heaven. Video tersebut mengisahkan dua beradik yang miskin yang kehilangan kasut. Video ini amat sarat dengan pengajaran dan keinsafan buat semua yang menontonnya. Pasti akan melahirkan rasa bersyukur dengan apa yang ada dan menjadikan diri anak yang mampu berdikari serta memahami tanggungjawab besar yang ditanggung oleh orang tuanya.

Ketika majlis berbuka semua hadirin dihidangkan dengan kuih-muih sebagai juadah berbuka puasa yang ringan, diikuti juadah berat selepas menunaikan solat maghrib. Apabila tibanya waktu Isyak, semua hadirin solat secara berjamaah dan diteruskan dengan solat tarawikh yang diimamkan oleh saudara Mohd Hidhir bin Mohd Ibrahim dan witir oleh saudara Mursyidi bin Mohammad.

Program ini ditamatkan dengan ucapan Pengarah Kelab Remaja ISMA Melaka, Encik Mursyidi bin Mohamad dengan memberi kata-kata semangat kepada adik-adik peserta yang bakal menghadapi peperiksaan PMR dan SPM.