KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Saturday, July 31, 2010

Wahai Remaja, Impikanlah untuk menjadi Remaja Teladan!

Rasulullah saw merupakan tokoh jua suri teladan unggul yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua umat manusia di semua zaman . Dan sebagai umat Nabi Muhammad, kecintaan terhadap Allah harus diletakkan di tangga yang tertinggi melebihi segala-galanya. Sesungguhnya Allah yang mewujudkan manusia, Yang memberi rezeki, Yang tidak pernah bosan mendengar rintihan hambaNya, Yang tidak pernah penat memberi pertolongan kepada hambaNya, Yang tidak pernah kedekut untuk memaafkan dan tidak pernah sombong untuk menerima taubat hambaNya yang ikhlas. Allah lah yang paling layak untuk manusia curahkan cintanya sepenuhnya.

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingat Allah. [33.Al-Ahzab:21]

Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Katakanlah (Muhammad), “Taatilah Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa Allah tidak menyukai orang-orang kafir.” [3.Ali ‘Imran:31-32]

Berdasarkan firman Allah di atas, jelaslah bahawa seharusnya kita menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan kita bagi menzahirkan cinta kita kepada Allah. Dan sebesar-besar perbuatan Baginda yang boleh kita contohi ialah dengan menjadikan diri kita juga insan contoh atau ‘role model’.

Sayyidah Aishah, isteri Nabi Muhammad saw pernah berkata, “Akhlak beliau adalah Al-Qur’an”. Kata-kata ringkas ini sungguh besar maknanya. Al-Qur’an merupakan Kitab Allah dan kalimat-kalimat Allah yang sempurna. Sesiapa yang berusaha untuk mencontohi akhlak Baginda adalah umpama Al-Qur’an yang bergerak. Al-Qur’an yang tidak hanya tinggal sebagai teori dan kajian ilmiah semata-mata tetapi Al-Qur’an yang telah diterjemahkan ke alam realiti oleh pengikut-pengikut yang mencintai Allah dan RasulNya.

‘Qudwah Hasanah’ (contoh baik) juga merupakan kriteria yang dituntut bagi seseorang untuk menjadi pemimpin yang dihormati dan diteladani. Bahkan, umat Islam harus melihat dirinya sebagai seorang pemimpin dan berazam untuk menjadi pemimpin.

Rasulullah saw menekankan aspek kepimpinan ini pada umatnya dengan bersabda:
“Setiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan disoal tentang rakyatnya. Dan seorang wanita ialah pemimpin di dalam rumah suaminya dan ia bertanggungjawab atas apa yang ia pimpin…


Dengan adanya tekad untuk menjadikan dirinya sebagai seorang pemimpin, seseorang itu telah memenuhi sebab Allah menciptakannya di muka bumi ini. Allah menciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah. Allah juga menciptakan manusia agar manusia itu tunduk dan patuh pada perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Bermulanya saat manusia itu menyerahkan dirinya kepada Allah, maka, bermulalah episod ketenangan dan keberkatan yang menyapa hidupnya di dunia ini.

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu. Aku sekali-kali tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan tidak menghendaki supaya mereka member Aku makan.” [51.Adz-Dzaariyaat:56-57]

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?” Dia berfirman, “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” [2.Al-Baqarah:30]

Oleh itu, seseorang Islam itu tidak boleh sesekali mengasingkan hidupnya daripada mana-mana di atas. Kepimpinan tidak boleh diasingkan begitu juga ibadah kepada Allah tidak boleh ditinggalkan serta mencontohi teladan Rasulullah saw juga tidak boleh dipisahkan. Kesemuanya merupakan ibadah kepada Allah, yakni perbuatan tunduk dan patuh kepadaNya lantaran cintanya kepada Allah begitu juga kesemuanya merupakan perlaksanaan tugas-tugas sebagai seorang pemimpin.

Justeru, wahai Remaja Sekalian! Impikanlah untuk menjadi Remaja Muslim Teladan! Sepertimana yang telah dibuktikan oleh para remaja seperti Usamah bin Zaid, Sultan Muhammad Fatih dan banyak lagi. Usamah bin Zaid merupakan Jeneral tentera Islam dalam peperangan melawan Rom pada usia 17 tahun. Manakala tentera Islam di bawah pimpinan Sultan Muhammad Fatih yang berusia 21 tahun ketika itu telah berjaya menawan Constantinople! Mereka adalah manusia seperti kita. Maka jadilah kalian seperti MEREKA...

Tuesday, July 27, 2010

Penangguhan Program BEST

Assalammualaikum.
Pihak KRIM Melaka dengan ini memaklumkan bahawa perlaksanaan program BEST akan ditangguhkan ke satu tarikh baru iaitu pada 8hb Ogos 2010 (AHAD). Walaubagaimana pun tiada sebarang perubahan pada lokasi dan masa program. (Perubahan yang dilakukan hanyalah pada tarikh program tersebut sahaja).

Sebarang kesulitan yang berlaku amat dikesali.

Semoga bertemu pada tarikh baru yang telah dirancangkan tersebut.

Sekian, Terima Kasih.

Thursday, July 8, 2010

Seminar Kerjaya 2010 Melakar Sejarah

Batu Berendam, 3 Julai 2010 – Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka melakar sejarah apabila buat julung-julung kalinya berjaya menganjurkan Seminar Kerjaya 2010. Seminar ini merupakan anjuran bersama KRIM Melaka, SMKA Sultan Muhammad dan SMK Munshi Abdullah dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Melaka Tengah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bertempat di Dewan SMKA Sultan Muhammad, seramai hampir 250 orang pelajar daripada enam sekolah menengah di daerah Melaka Tengah telah menghadiri Seminar Kerjaya ini. Program separuh hari ini dihadiri oleh pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada SMKA Sultan Muhammad, SMK Munshi Abdullah, SMK Tun Mutahir, SMK Tun Haji Abdul Malek, SMK Ayer Keroh dan SMKA Syarifah Rodziah.

Program Seminar Kerjaya 2010 ini diadakan untuk memberi peluang kepada para remaja, memahami dan meneliti peluang pekerjaan masa hadapan melalui pelbagai aliran pendidikan selepas mereka tamat zaman persekolahan kelak. Di samping itu, program ini memberi peluang kepada peserta untuk berkenalan dan merapatkan ukhuwah Islamiah di kalangan mereka. Program ini juga dimeriahkan lagi dengan pameran-pameran dari wakil IPTA & IPTS seperti Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Multimedia University (MMU), Politeknik Kota Melaka (PKM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kolej Yayasan Melaka (KYM) International dan juga pameran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka.

Majlis perasmian dimulakan pada jam 9 pagi dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis dan diikuti oleh ucapan Yang Di Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Melaka, Ustaz Ahmad Zainal Abidin, mewakili KRIM sebagai pihak penganjur. Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengetua SMKA Sultan Muhammad, Tuan Haji Arifin Omar bagi pihak Pejabat Pelajaran Daerah Melaka Tengah.

Usai majlis perasmian, program diteruskan dengan pembentangan yang pertama iaitu “Halatuju selepas SPM” oleh saudara Nurul Aizam Zaini, AJK Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang bekerja sebagai Pembantu Pengurus, VISA dan Pelajar Luar Negara di Multimedia University. Dalam sesi ini, beliau telah menjelaskan bidang-bidang pekerjaan yang sedia ada di pasaran dan memperincikan elemen yang perlu ada pada setiap pelajar bagi meningkatkan ‘kebolehpasaran’ apabila menceburi bidang pekerjaan yang semakin mencabar di era permodenan ini. Beliau turut mengingatkan pelajar agar berusaha melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran “inter-personal” atau “soft skill” kerana kelulusan akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk memohon biasiswa dan pekerjaan kelak.

Slot yang kedua bertajuk “Peluang Pengajian dan Tajaan oleh MARA” pula diisi oleh Pegawai Latihan dan Kerjaya MARA Negeri Melaka, Puan Hanifah Bt Abdullah. Para pelajar didedahkan dengan peluang-peluang pengajian yang disediakan oleh MARA untuk peringkat sijil, diploma dan ijazah. Beliau turut menerangkan syarat-syarat dan bagaimana untuk memohon tajaan MARA samada di dalam atau luar negara. Untuk slot perkongsian kerjaya pula, tiga orang penceramah dijemput khas bagi berkongsi pengalaman dan ilmu dalam bidang keusahawanan, perubatan dan kejuruteraan iaitu Puan Siti Affiza Bt Mohammad, Pengetua Tadika Aulad Musleh, Dr Nur Faridah Zulkhaini, bekerja sebagai doktor di United Kingdom selama 2 tahun dan En Mursyidi b Mohammad, Jurutera Mekanikal di Petronas Penapisan Melaka Sdn Bhd. Para pelajar telah memberikan sambutan yang menggalakkan dengan mengajukan pelbagai soalan kepada penceramah.

Program seminar kerjaya ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengarah KRIM Melaka merangkap pengarah program, En Mursyidi Mohammad. Dalam ucapan penutup, beliau menegaskan kepentingan mempunyai halatuju dan matlamat yang jelas. Beliau juga mengingatkan agar jangan sekali-kali berputus asa sekiranya kita mengalami kegagalan kerana berapa kali kita jatuh itu tidak penting tetapi yang pentingnya ialah bagaimana kita bangun semula setelah kita jatuh.

Pihak KRIM Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih khusus kepada Jabatan Pelajaran Melaka dan Pejabat Pelajaran Daerah Melaka Tengah di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Seminar Kerjaya 2010 ini. Terima kasih juga kepada pihak SMK Mushi Abdullah atas kerjasama dan pihak tuan rumah, SMKA Sultan Muhammad yang telah menyediakan fasiliti terbaik dan tenaga sokongan dari kalangan para kaunselor sekolah yang telah menjayakan program ini. Tidak lupa kepada wakil MARA, ISMA, PEMBINA dan IPT/S serta sekolah-sekolah yang mengambil bahagian. Semoga program ini diberkati oleh Allah S.W.T dan mendatangkan pelbagai kebaikan buat semua yang terlibat.

Program akan datang: Seminar Kerjaya 2010


KRIM Melaka, SMKA Sultan Muhammad & SMK Munshi Abdullah akan menganjurkan Seminar Kerjaya dgn kerjasama Jabatan Pelajaran Melaka, PPD Melaka tengah dan MARA pada sabtu, 3 Julai 2010 di SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam. Tentatifnya adalah seperti berikut:

8.00 - 8.45 am - Ketibaan dan Pendaftaran Pelajar dan Guru

8.45 – 9.00 am - Ketibaan VIP Pengetua dan wakil PPD dan JPM

9.00 – 9.05 am - Kata-kata Aluan

9.05 - 9.10 am - Bacaan Doa

9.10 – 9.15 am - Ucapan Aluan ISMA

9.15 - 9.30 am - Ucapan Perasmian oleh wakil PPD Melaka Tengah

9.30 – 10.00am - Minum Pagi

10.00 – 10.45am - Slot 1 : Halatuju Selepas SPM (Aizam)

10.45 – 11.30am - Slot 2 : Peluang Pengajian dan Tajaan oleh MARA

11.30 - 12.30am - Slot 3 : Perkongsian Kerjaya

11.30 – 11.45am - Perubatan

11.50 - 12.05am - Keusahawanan

12.10 - 12.25am - Kejuruteraan

1230 - 1240 pm - Ucapan Penutup SMKA Sultan Muhammad

12.40 - 12.50pm - Penyampaian Cenderahati

12.50 – 1.30pm - Makan Tengah Hari (VIP) & Bersurai

Monday, June 14, 2010

Get2Gather KRIM Melaka Menggamit Suasana

Ayer Keroh, Sabtu 12 Jun - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka telah julung-julung kalinya menganjurkan sebuah program santai bercorak "treasure hunt" dan BBQ pada tahun 2010 ini di bawah keindahan redup tumbuhan hutan hujan tropika di Taman Botanikal Melaka. Mengambil peluang daripada Cuti Sekolah Semester yang berlanjutan sehingga dua minggu, seramai 24 org peserta yg terdiri daripada pelajar sekolah seluruh Melaka telah mendaftarkan diri di perkarangan pentas terbuka Muzium Perhutanan seawal 9 pagi lagi. Rata-ratanya, ramai yang telah mengenali KRIM daripada program-program yang pernah disertai sebelum ini seterusnya membuatkan program kali ini juga cukup bermakna sebagai 'platform reunion' para peserta. Manisnya, program yang bertemakan "Ukhwah Itu Indah" ini turut diserikan dengan kehadiran abang-abang dan kakak-kakak fasilitator dari Persatuan Belia Islam Nasional atau ringkasnya, PEMBINA.



Slot Get2Gather dimulai dengan taaruf sesama peserta dan aktiviti 'ice breaking' yang menyaksikan gelagat para peserta menggayakan nama masing-masing. Adik-adik peserta yang asalnya sedikit malu-malu tampak semakin mesra dan bersemangat setelah acara ice-breaking dikemudikan oleh aksi bersahaja abang Hazri. Tepat jam 10.30, para peserta terus dibahagikan kepada 4 kumpulan berbeza dengan masing-masing diberi tugasan untuk memilih ketua dan nama kumpulan masing-masing. Mereka kemudiannya terus diberikan taklimat berkenaan 'treasure hunt' yang akan dilakukan sekitar taman botanikal. Sebaik saja diserahkan dengan klu dan soalan, setiap kumpulan terus berangkat menandakan bermulanya "treasure hunt" kali ini. Sebanyak empat buah checkpoint menarik telah disediakan di mana mereka perlu melakukan pelbagai aktiviti di samping menyelesaikan soalan-soalan yg diberi sepanjang perjalanan.



Antara yang menarik perhatian ialah checkpoint scanner buruk yang memerlukan setiap peserta menghafal dan menyampaikan cerita pendek kepada peserta seterusnya setelah menempuh laluan berhalangan. Ternyata, ia tidak semudah seperti yang disangka apabila cerita pendek yang perlu dihafal berubah kepada pelbagai bentuk cerita yang melucukan. Usai aktiviti treasure hunt yang berlangsung selama dua jam, kepenatan para peserta terus saja diubati dengan hidangan ayam dan sosej BBQ. Ditambah dengan mihun goreng dan coleslaw, semua juadah disantap enak oleh para peserta mahupun para fasilitator.

Akhirnya, program get2gather yang telah berlangsung selama separuh hari ditutup dengan sesi refleksi dan "debriefing" terhadap segala aktiviti yang berlangsung. Pengisian rohani bertajuk "Ukhwah Itu Indah", iaitu tema program pada hari tersebut juga telah disampaikan oleh Pengarah KRIM Melaka, Saudara Mursyidi Bin Mohammad. Kumpulan Jihad yang terdiri daripada peserta perempuan muncul sebagai johan untuk Treasure Hunt kali ini. Tahniah diucapkan kepada kumpulan tersebut.

Selain dapat mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti yang berfaedah, perhimpunan kembali dikalangan para peserta program-program KRIM Melaka juga adalah medan yang terbaik untuk mengeratkan lagi ukhwah dikalangan fasilitator dan bekas-bekas peserta KRIM. Diharapkan, ukhwah yang terjalin di dalam program yang singkat tetapi bermakna ini akan terus terjalin. Kami dari KRIM Melaka akan terus bersemangat untuk mengadakan sesi-sesi seperti ini di masa hadapan. JUMPA LAGI INSYAALLAH!!

Seminar Matematik Persiapkan Pelajar Menghadapi SPM

Durian Tunggal, 8 Jun 2010 - Bersempena dengan cuti sekolah kali ini, KRIM Melaka telah berjaya menganjurkan Seminar Matematik SPM yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Pejabat ISMA Melaka, Taman Angkasa Nuri. Program yang dikendalikan oleh Cikgu Zulkiplee Hassan, 13 tahun pengalaman sebagai Guru Matematik Sekolah Menengah Teknik Muar ini dimulakan dengan sesi taaruf ringkas.

Seminar diteruskan dengan pembentangan oleh Cikgu Zulkiplee yang merangkumi topik Matematik SPM Tingkatan 4 iaitu Quadratic Expression, Quadratic Expression, Mathematical Reasoning, Straight line and Statistics. Soalan-soalan Matematik yang diselesaikan semasa seminar banyak membantu pelajar dalam menjawab soalan dan memahami topik yang dibincangkan. Pelbagai soalan dan pertanyaan turut diajukan oleh para peserta yang terdiri daripada Tingkatan 4 dan 5 ini bagi merungkai kekeliruan dan meningkatkan kefahaman mereka.

Selesai pembentangan, para peserta dihidangkan dengan juadah makan tengah hari sebelum bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. Kami dari KRIM Melaka mengharapkan agar Seminar Matematik separuh hari ini memberi manfaat dan membantu adik-adik yang akan menghadapi SPM kelak. All the Best !!!