KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Monday, June 14, 2010

Get2Gather KRIM Melaka Menggamit Suasana

Ayer Keroh, Sabtu 12 Jun - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka telah julung-julung kalinya menganjurkan sebuah program santai bercorak "treasure hunt" dan BBQ pada tahun 2010 ini di bawah keindahan redup tumbuhan hutan hujan tropika di Taman Botanikal Melaka. Mengambil peluang daripada Cuti Sekolah Semester yang berlanjutan sehingga dua minggu, seramai 24 org peserta yg terdiri daripada pelajar sekolah seluruh Melaka telah mendaftarkan diri di perkarangan pentas terbuka Muzium Perhutanan seawal 9 pagi lagi. Rata-ratanya, ramai yang telah mengenali KRIM daripada program-program yang pernah disertai sebelum ini seterusnya membuatkan program kali ini juga cukup bermakna sebagai 'platform reunion' para peserta. Manisnya, program yang bertemakan "Ukhwah Itu Indah" ini turut diserikan dengan kehadiran abang-abang dan kakak-kakak fasilitator dari Persatuan Belia Islam Nasional atau ringkasnya, PEMBINA.



Slot Get2Gather dimulai dengan taaruf sesama peserta dan aktiviti 'ice breaking' yang menyaksikan gelagat para peserta menggayakan nama masing-masing. Adik-adik peserta yang asalnya sedikit malu-malu tampak semakin mesra dan bersemangat setelah acara ice-breaking dikemudikan oleh aksi bersahaja abang Hazri. Tepat jam 10.30, para peserta terus dibahagikan kepada 4 kumpulan berbeza dengan masing-masing diberi tugasan untuk memilih ketua dan nama kumpulan masing-masing. Mereka kemudiannya terus diberikan taklimat berkenaan 'treasure hunt' yang akan dilakukan sekitar taman botanikal. Sebaik saja diserahkan dengan klu dan soalan, setiap kumpulan terus berangkat menandakan bermulanya "treasure hunt" kali ini. Sebanyak empat buah checkpoint menarik telah disediakan di mana mereka perlu melakukan pelbagai aktiviti di samping menyelesaikan soalan-soalan yg diberi sepanjang perjalanan.



Antara yang menarik perhatian ialah checkpoint scanner buruk yang memerlukan setiap peserta menghafal dan menyampaikan cerita pendek kepada peserta seterusnya setelah menempuh laluan berhalangan. Ternyata, ia tidak semudah seperti yang disangka apabila cerita pendek yang perlu dihafal berubah kepada pelbagai bentuk cerita yang melucukan. Usai aktiviti treasure hunt yang berlangsung selama dua jam, kepenatan para peserta terus saja diubati dengan hidangan ayam dan sosej BBQ. Ditambah dengan mihun goreng dan coleslaw, semua juadah disantap enak oleh para peserta mahupun para fasilitator.

Akhirnya, program get2gather yang telah berlangsung selama separuh hari ditutup dengan sesi refleksi dan "debriefing" terhadap segala aktiviti yang berlangsung. Pengisian rohani bertajuk "Ukhwah Itu Indah", iaitu tema program pada hari tersebut juga telah disampaikan oleh Pengarah KRIM Melaka, Saudara Mursyidi Bin Mohammad. Kumpulan Jihad yang terdiri daripada peserta perempuan muncul sebagai johan untuk Treasure Hunt kali ini. Tahniah diucapkan kepada kumpulan tersebut.

Selain dapat mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti yang berfaedah, perhimpunan kembali dikalangan para peserta program-program KRIM Melaka juga adalah medan yang terbaik untuk mengeratkan lagi ukhwah dikalangan fasilitator dan bekas-bekas peserta KRIM. Diharapkan, ukhwah yang terjalin di dalam program yang singkat tetapi bermakna ini akan terus terjalin. Kami dari KRIM Melaka akan terus bersemangat untuk mengadakan sesi-sesi seperti ini di masa hadapan. JUMPA LAGI INSYAALLAH!!

Seminar Matematik Persiapkan Pelajar Menghadapi SPM

Durian Tunggal, 8 Jun 2010 - Bersempena dengan cuti sekolah kali ini, KRIM Melaka telah berjaya menganjurkan Seminar Matematik SPM yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Pejabat ISMA Melaka, Taman Angkasa Nuri. Program yang dikendalikan oleh Cikgu Zulkiplee Hassan, 13 tahun pengalaman sebagai Guru Matematik Sekolah Menengah Teknik Muar ini dimulakan dengan sesi taaruf ringkas.

Seminar diteruskan dengan pembentangan oleh Cikgu Zulkiplee yang merangkumi topik Matematik SPM Tingkatan 4 iaitu Quadratic Expression, Quadratic Expression, Mathematical Reasoning, Straight line and Statistics. Soalan-soalan Matematik yang diselesaikan semasa seminar banyak membantu pelajar dalam menjawab soalan dan memahami topik yang dibincangkan. Pelbagai soalan dan pertanyaan turut diajukan oleh para peserta yang terdiri daripada Tingkatan 4 dan 5 ini bagi merungkai kekeliruan dan meningkatkan kefahaman mereka.

Selesai pembentangan, para peserta dihidangkan dengan juadah makan tengah hari sebelum bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. Kami dari KRIM Melaka mengharapkan agar Seminar Matematik separuh hari ini memberi manfaat dan membantu adik-adik yang akan menghadapi SPM kelak. All the Best !!!

Monday, June 7, 2010

Kem Motivasi 3A MOZAC seimbang Akidah, Akademik dan Akhlak

AYER KEROH: 28-29 Mei 2010, Unit Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) dengan kerjasama Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka telah berjaya menganjurkan Kem Motivasi 3A (akhlak, akidah dan akademik) untuk semua pelajar tingkatan satu. Kem dua hari satu malam ini telah disertai oleh seramai 90 orang pelajar dan berlangsung di Dewan Sultan Muzaffar Syah.

Program dimulakan dengan sesi “Ice Breaking” pada hari khamis jam 5.30 petang. Bertemakan “tak kenal maka tak cinta” para pelajar berpeluang untuk mengenali dangan lebih mendalam teman-teman mereka melalui aktiviti suai kenal yang dijalankan. Selesai menunaikan kewajipan solat fardhu Maghrib dan bacaan yassin secara berjemaah, pelajar dihidangkan dengan tazkirah mengenai konsep syahadah. Kisah seorang penyanyi terkenal, Cat Steven atau Yusuf Islam yang memeluk agama islam memupuk pelajar untuk lebih menghargai nikmat islam dan iman.

Usai solat Isyak, program diteruskan dengan aktiviti Jejak Si Buta. Aktiviti yang memerlukan semua peserta menutup mata ini jelas telah menguji keberanian para peserta walaupun mereka sebenarnya berada di kawasan sekolah mereka sendiri. Slot ‘Sebelum Mata Terlena’ yang dikendalikan oleh Cikgu Abdul Razak bin Kassim berkaitan pengorbanan ibu bapa sejak dari kecil amat menyentuh hati kecil peserta. Titisan air mata yang mengalir memberikan gambaran bahawa para peserta sangat menyayangi ibu bapa masing-masing dan mahu menjadi anak yang lebih baik dari sebelumnya.

Hari kedua program pula dimulakan dengan Qiamullail, solat Subuh berjemaah dan diikuti dengan senaman pagi. Dalam sesi ini para peserta juga berpeluang untuk mengenali dengan lebih rapat dengan para fasilitator KRIM. Slot bertajuk ‘Remaja: Dari Mana Nak Ke Mana? ‘ yang dikendalikan oleh En Mursyidi bin Mohammad pula merungkai realiti remaja muslim hari ini yang amat membimbangkan. Slot ini bertujuan untuk menyedarkan para peserta agar tidak terjebak dalam masalah sosial yang melanda itu dan petua-petua untuk menjadi remaja muslim yang cemerlang bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak. Aktiviti “Self Lead Before Lead Others” pula dijalankan bertujuan memberikan kesedaran kepada semua pelajar bahawa sebelum mereka memimpin orang lain, adalah amat penting bagi mereka mampu memimpin diri sendiri terlebih dahulu.

Selesai menunaikan solat Jumaat, slot terakhir “Towards a Brighter Future” disampaikan oleh Cikgu Abdul Razak bin Kassim. Dalam slot ini kehebatan peribadi pemimpin iaitu Sultan Muhammad al Fatih telah dijadikan contoh terbaik yang perlu diikuti oleh para peserta. Dengan berakhirnya slot tersebut, maka berakhirlah Kem Motivasi 3A yang dijalankan selama dua hari itu. Majlis penutup kem ini telah dirasmikan oleh Guru Hal Ehwal Murid MOZAC yang menggantikan pengetua sekolah berkenaan yang tidak dapat hadir. Dalam ucapan penutupnya, beliau menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak KRIM Melaka diatas kerjasama penganjuran kem ini dan berharap agar kerjasama akan dapat diteruskan pada masa akan datang.