KRIM

Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.

Monday, June 7, 2010

Kem Motivasi 3A MOZAC seimbang Akidah, Akademik dan Akhlak

AYER KEROH: 28-29 Mei 2010, Unit Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) dengan kerjasama Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka telah berjaya menganjurkan Kem Motivasi 3A (akhlak, akidah dan akademik) untuk semua pelajar tingkatan satu. Kem dua hari satu malam ini telah disertai oleh seramai 90 orang pelajar dan berlangsung di Dewan Sultan Muzaffar Syah.

Program dimulakan dengan sesi “Ice Breaking” pada hari khamis jam 5.30 petang. Bertemakan “tak kenal maka tak cinta” para pelajar berpeluang untuk mengenali dangan lebih mendalam teman-teman mereka melalui aktiviti suai kenal yang dijalankan. Selesai menunaikan kewajipan solat fardhu Maghrib dan bacaan yassin secara berjemaah, pelajar dihidangkan dengan tazkirah mengenai konsep syahadah. Kisah seorang penyanyi terkenal, Cat Steven atau Yusuf Islam yang memeluk agama islam memupuk pelajar untuk lebih menghargai nikmat islam dan iman.

Usai solat Isyak, program diteruskan dengan aktiviti Jejak Si Buta. Aktiviti yang memerlukan semua peserta menutup mata ini jelas telah menguji keberanian para peserta walaupun mereka sebenarnya berada di kawasan sekolah mereka sendiri. Slot ‘Sebelum Mata Terlena’ yang dikendalikan oleh Cikgu Abdul Razak bin Kassim berkaitan pengorbanan ibu bapa sejak dari kecil amat menyentuh hati kecil peserta. Titisan air mata yang mengalir memberikan gambaran bahawa para peserta sangat menyayangi ibu bapa masing-masing dan mahu menjadi anak yang lebih baik dari sebelumnya.

Hari kedua program pula dimulakan dengan Qiamullail, solat Subuh berjemaah dan diikuti dengan senaman pagi. Dalam sesi ini para peserta juga berpeluang untuk mengenali dengan lebih rapat dengan para fasilitator KRIM. Slot bertajuk ‘Remaja: Dari Mana Nak Ke Mana? ‘ yang dikendalikan oleh En Mursyidi bin Mohammad pula merungkai realiti remaja muslim hari ini yang amat membimbangkan. Slot ini bertujuan untuk menyedarkan para peserta agar tidak terjebak dalam masalah sosial yang melanda itu dan petua-petua untuk menjadi remaja muslim yang cemerlang bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak. Aktiviti “Self Lead Before Lead Others” pula dijalankan bertujuan memberikan kesedaran kepada semua pelajar bahawa sebelum mereka memimpin orang lain, adalah amat penting bagi mereka mampu memimpin diri sendiri terlebih dahulu.

Selesai menunaikan solat Jumaat, slot terakhir “Towards a Brighter Future” disampaikan oleh Cikgu Abdul Razak bin Kassim. Dalam slot ini kehebatan peribadi pemimpin iaitu Sultan Muhammad al Fatih telah dijadikan contoh terbaik yang perlu diikuti oleh para peserta. Dengan berakhirnya slot tersebut, maka berakhirlah Kem Motivasi 3A yang dijalankan selama dua hari itu. Majlis penutup kem ini telah dirasmikan oleh Guru Hal Ehwal Murid MOZAC yang menggantikan pengetua sekolah berkenaan yang tidak dapat hadir. Dalam ucapan penutupnya, beliau menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak KRIM Melaka diatas kerjasama penganjuran kem ini dan berharap agar kerjasama akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment